BATU PAHAT, 3 September 2025 – Kelab Staf Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (KSFKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program ‘FKEE MOVE – Fitness Keys to Energy & Excellence’ dengan membawa misi Fun Walk – 6,800 steps sebagai simbolik kepada sambutan kemerdekaan ke-68.

Menurut Dekan FKEE, Profesor Ts. Dr. Asmarashid Ponniran, aktiviti berjalan kaki itu diadakan bertujuan menggalakkan budaya hidup sihat sekali gus menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan warga fakulti.

Beliau dalam ucapannya berkata, FKEE MOVE bukan sahaja menggalakkan kecergasan fizikal, malah berperanan sebagai platform untuk membina budaya kerja cemerlang, mengamalkan gaya hidup sihat dan memperkukuh hubungan persaudaraan sesama warga.

Turut diadakan, pertandingan pakaian tradisional yang menuntut pesertanya berbusana tradisional beridentitikan bangsa dan warisan budaya.

Dalam pertandingan tersebut, staf Maslan Ahmad meraih juara bagi kategori ‘Lelaki’ manakala Junaidah Azlan bagi kategori ‘Perempuan.’

FKEE MOVE kini menjadi acara tahunan yang dinanti oleh warga fakulti, selain sebagai usaha menyokong aspirasi UTHM dalam memperkukuh gaya hidup sihat, menyemai semangat patriotisme serta meningkatkan kebersamaan komuniti kampus ke arah kelestarian kecemerlangan dalam perkhidmatan di UTHM.