Peperangan yang tidak berkesudahan hampir dua tahun, sekatan bantuan yang semakin ketat serta keruntuhan sistem bekalan makanan di Gaza kini menjadikan tanah tersebut semakin tandus harapannya. Menurut laporan Integrated Food Security Phase Classification (IPC), lebih setengah juta rakyat iaitu hampir satu per empat penduduk Gaza mengalami kelaparan melampau dan angka ini dijangka meningkat kepada 641,000 menjelang akhir September 2025. Mereka bukan sekadar lapar, tetapi berada di ambang maut akibat kekurangan nutrien dan zat makanan yang melemahkan tubuh badan mereka.
IPC merupakan sebuah sistem global yang menilai tahap keselamatan makanan. Apa yang membimbangkan adalah dalam satu laporan terbaru mereka mengesahkan Gaza sudah mencapai tahap lima iaitu tahap tertinggi dalam skala bencana. Tahap ini bukan sekadar angka, namun ia memberi petanda bahawa ramai yang sedang dan akan terus mati akibat kebuluran serta penyakit.
Mengikut kriteria IPC, sesebuah wilayah hanya dikira mengalami kebuluran apabila 30% kanak-kanak di bawah usia lima tahun mengalami kekurangan zat makanan yang serius dalam jangka masa singkat, sekurang-kurangnya 20% isi rumah tidak lagi mampu mendapatkan makanan, dan kadar kematian melonjak ke tahap dua orang dewasa atau empat kanak-kanak bagi setiap 10,000 penduduk setiap hari. Sampai bila kita akan terus berdiam, sedang Gaza telah pun melangkah ke ambang malapetaka?
Komuniti antarabangsa telah memberi amaran, tetapi bantuan masih tidak mencukupi dan halangan masih lagi wujud. Halangan yang dimaksudkan adalah dari sudut sekatan sempadan oleh rejim Zionis, birokrasi dan permit, selain serangan yang masih berterusan. Ia bukan lagi sekadar krisis kemanusiaan, tetapi juga krisis moral dan undang-undang yang menuntut keberanian untuk bertindak sebelum denyut terakhir kehidupan di Gaza terpadam tanpa pembelaan.
Tindakan yang wajar tidak boleh lagi ditangguh kerana Gaza bukannya meminta simpati semata-mata, tetapi tindakan yang nyata. Hal ini kerana dengan setiap saat yang berlalu, satu lagi tubuh kecil mungkin terkulai. Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau lebih dikenali sebagai UNICEF, satu-satunya jalur hayat yang masih ada bagi rakyat di Gaza adalah akses kemanusiaan penuh dan gencatan senjata.
Gencatan senjata di Gaza perlu dilaksanakan segera agar bantuan dapat masuk tanpa halangan. Manakala akses kemanusiaan penuh pula bermakna bantuan berbentuk makanan, air bersih, ubat-ubatan dan bahan bakar haruslah dibenarkan masuk tanpa sekatan melalui semua saluran yang mungkin. Ini juga merangkumi kebebasan pergerakan untuk petugas kemanusiaan agar mereka dapat menyampaikan bantuan kepada rakyat Gaza yang memerlukan, termasuklah di kawasan terpencil dan terjejas. Bantuan-bantuan yang disebutkan ini bakal menjadi penentu hidup atau matinya rakyat di sana.
Selain itu, Gaza juga berterusan menanti bantuan segera untuk menampung keperluan kesihatan yang mendesak dan membina semula tulang belakang infrastruktur kesihatan yang musnah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa pembinaan semula sistem kesihatan Gaza memerlukan sekitar AS$3 bilion iaitu kira-kira RM14.4 bilion dalam setahun. Jumlah tersebut dikatakan mampu melonjak sehingga AS$10 bilion iaitu sekitar RM48 bilion dalam tempoh enam hingga tujuh tahun. Media turut melaporkan bahawa hospital yang masih berfungsi di sana adalah kurang daripada separuh.
Hospital yang dahulunya menjadi tempat berlindung dan tempat merawat, kini beroperasi dalam keadaan serba kekurangan. Bekalan ubat-ubatan semakin terhad, tenaga kerja perubatan semakin berkurang dan peralatan asas tidak mencukupi. Hal ini bermakna tanpa tindakan pembaikpulihan segera, ratusan ribu nyawa akan terus terdedah kepada penyakit dan kematian yang boleh dielakkan. Oleh itu, pemulihan hospital dan pusat rawatan perlu dipercepat dengan sokongan dana antarabangsa.
Di sebalik tragedi ini, persoalannya bukan lagi adakah Gaza boleh terus bertahan, tetapi adakah dunia sanggup membiarkannya terus binasa. Apa yang tersisa hanyalah dunia yang mempunyai pilihan untuk terus memerhati dan mencatat angka, atau pun bertindak segera menyelamatkan nyawa. Sebagaimana Malaysia meraikan kemerdekaan yang membolehkan rakyatnya hidup dalam aman damai, kita juga memikul tanggungjawab moral untuk memastikan rakyat Gaza menegakkan hak mereka untuk hidup dengan selamat. Dalam memilih, kita sebenarnya sedang menentukan sama ada kemanusiaan masih hidup dalam diri kita, atau telah lama lenyap.

Farhana Abd Hamid
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
