Bahasa Melayu dan kemerdekaan Malaysia merupakan perkara yang tidak boleh dipisahkan. Elemen bahasa merupakan perkara yang perlu dibicarakan apabila rakyat Malaysia menuju ambang kemerdekaan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia telah ditulis dalam perlembagaan yang telah mengangkat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Malaysia. Bahasa Melayu yang dahulunya sangat terkenal dalam kalangan pedagang sebelum era penjajahan digunakan dengan sangat meluas dalam pentadbiran, perdagangan dan penyebaran agama Islam. Semasa era penjajahan British pula, bahasa Melayu digunakan dalam pendidikan di sekolah-sekolah Melayu. Setelah itu, perjuangan kemerdekaan mula dikaitkan dengan bahasa Melayu sebagai identiti bangsa. Terutamanya, penulisan akhbar Melayu yang sangat meluas pada ketika itu untuk menyuarakan hak kebebasan negara iaitu kemerdekaan. Saat menuju kemerdekaan, bahasa Melayu telah termaktub dalam perlembagaan dan pelbagai dasar telah diperkenalkan supaya bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar dan dimartabatkan oleh rakyat.

Bahasa Melayu semestinya perlu diimbas kembali melalui lensa sejarah sebagai perkara yang penting dalam mewujudkan patrotisme dan tidak boleh menjadi seperti kacang lupakan kulit. Sehubungan itu, bahasa Melayu pada peringkat pendidikan tidak boleh terhenti di sekolah menengah, malah perlu diteruskan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Bahasa Melayu perlu terus dijadikan sebagai bahasa pengantar di IPT supaya semua pelajar tanpa mengira belakang dapat meraikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Selain itu, bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa komunikasi harian dan juga bahasa ilmu. Apabila penggunaan bahasa Melayu sangat mantap, maka semangat kesatuan melalui komunikasi akan menjadi jitu.

Tidak dapat dinafikan begitu banyak bahasa yang menjadi pesaing kepada bahasa Melayu, lagi-lagi pada peringkat IPT. Penggunaan bahasa Inggeris yang meluas menjadikan bahasa Melayu tenggelam di universiti tempatan. Begitu banyak longgokan penulisan ilmiah memilih bahasa asing sebagai bahasa utama dalam medium penulisan. Hal ini kerana, tekanan globalisasi dan pengiktirafan antarabangsa menyebabkan bahasa Melayu dipinggirkan. Perkara yang menyayat hati apabila sikap segelintir pendidik dan pelajar yang lebih mengutamakan bahasa asing untuk berkomunikasi. Sekiranya, penggunaan bahasa Melayu semakin luntur, maka sikap patriotik akan menjadi semakin pudar.

Namun begitu, kebelakangan ini, begitu banyak usaha yang digiatkan oleh pelbagai pihak untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu yang wajar dipuji. Dengan adanya subjek Bahasa Melayu yang diajar pada peringkat IPT, maka bahasa Melayu dapat diperkenalkan dengan lebih meluas. Terutamanya, bahasa Melayu dapat dipromosikan kepada pelajar antarabangsa melalui pengenalan kepada budaya dan identiti Malaysia. Pengajaran subjek Bahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa dapat memperluas penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan perpaduan supaya mereka dapat berkomunikasi dengan komuniti tempatan. Perkara ini akan menjadikan bahasa Melayu sebagai medium penyebaran ilmu sedikit demi sedikit di serantau.

Apabila meneliti peranan bahasa Melayu di IPT, sewajarnya bahasa Melayu menjadi nilai patriotik dalam kalangan masyarakat. Bahasa Melayu yang digunakan dalam semua peringkat pendidikan dan wacana ilmiah menggambarkan corak pemikiran rakyat Malaysia. Hal ini dapat membina masyarakat yang celik ilmu melalui karya yang diterbitkan seperti seni dan sastera untuk mengekspresi pemikiran dan kritikan yang bertema patriotik. Sebagaimana yang diketahui umum, bahasa merupakan cerminan budaya dan sejarah, maka tidak hairanlah jika kita boleh menutur dalam bahasa Melayu sepenuhnya, kita merupakan pewaris sejarah tanah air sendiri. Malaysia juga terkenal dengan masyarakat yang berbilang kaum dan di sinilah bahasa Melayu menjadi alat utama integrasi nasional dan memupuk kepada patriotisme. Selari dengan kata-kata Perdana Menteri ke-10, “Malaysia perlu memberi penekanan terhadap penguasaan dan pemartabatan bahasa kebangsaan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan nasional.”

Malaysia menuju kemerdekaan ke-68 merupakan satu penanda bahawa Malaysia bebas daripada belenggu penjajahan hampir tujuh dekad. Oleh itu, untuk menyuburkan kembali semangat patriotik, maka wajarlah bahasa menjadi alat sebagai teras kemerdekaan dalam semua peringkat umur. Galakan dalam penggunaan bahasa Melayu bagi semua karya ilmiah bagi semua peringkat pendidikan perlu diraikan. Hal ini kerana, bahasa Melayu merupakan nadi kemerdekaan Malaysia yang membawa kepada kesinambungan perjuangan kemerdekaan. Dirgahayu Malaysia, Merdeka!

 

 

Nor Athira Md Amin

Guru Bahasa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 25), 23 September 2025: Bahasa Melayu mendunia, teras kemerdekaan ke-68 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 23 September 2025: Bahasa Melayu mendunia, teras kemerdekaan ke-68 

Bahasa Melayu mendunia, teras kemerdekaan ke-68