Oleh Mej (K) Prof. Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa

MUAR – Anggota Askar Wataniah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) tidak ketinggalan untuk menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dengan menyertai pengurusan, kawalan perbarisan serta perarakan Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat Daerah Muar yang berlangsung meriah di Dataran Tanjung Emas pada 31 Ogos 2025 lalu.

Mereka merupakan sebahagian daripada 57 anggota Askar Wataniah di bawah pentadbiran Batalion 2, Kem Jalan Joned, Muar yang ditugaskan bagi memastikan kelancaran sambutan.

Para anggota ditempatkan di beberapa lokasi strategik seperti kawasan pentas utama, Masjid Sultan Ibrahim, Sekolah Tinggi Muar, Stesen Bas Maharani hingga ke Dataran Tanjung Emas bagi membantu kawalan pergerakan serta penyelarasan acara.

Walaupun sedang dalam cuti semester, semangat kesukarelaan anggota Wataniah UTHM jelas terserlah apabila mereka tetap komited menyumbang tenaga demi kejayaan sambutan tersebut.

Pengalaman menyertai acara besar seperti sambutan Hari Kebangsaan disifatkan sebagai peluang berharga yang akan dikenang sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Tuan Raven Kumar A/L Krishnasamy, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, yang hadir mewakili Menteri Besar Johor.

Turut hadir, Pegawai Daerah Muar, Haji Zainal Eran, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri serta Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.