Kes buli di asrama sekolah Malaysia yang kerap tular saban tahun seharusnya menjadi isyarat jelas bahawa ada sesuatu yang pincang dalam sistem pendidikan kita. Malangnya, setiap kali isu ini muncul, penyelesaiannya sering terhenti pada aspek disiplin semata-mata – menggantung pelajar, memberi kaunseling atau menukar pentadbiran sekolah. Jarang sekali perbincangan berani menyentuh akar umbi masalah ini: budaya pendidikan yang terlalu menekankan pencapaian akademik sehingga emosi dan nilai kemanusiaan pelajar terabai.

Tekanan akademik sebagai punca tersembunyi

Di Malaysia, sekolah sering disamakan dengan kilang yang melahirkan keputusan peperiksaan cemerlang. Guru dibebani silibus padat, pelajar pula diasak dengan jadual pembelajaran tanpa ruang bernafas. Dalam keadaan ini, kejayaan hanya diukur melalui gred dan peratusan kelulusan. Mereka yang lemah akademik dianggap gagal, lalu lebih mudah menjadi sasaran ejekan atau penghinaan oleh rakan sebaya. Sebaliknya, mereka yang cemerlang juga tidak bebas daripada tekanan kerana persaingan yang melampau sering menyalurkan stres kepada tingkah laku agresif.

Asrama sekolah menambah lagi dimensi ini. Hidup berkumpulan yang penuh hierarki sosial mewujudkan kelompok “abang senior” dan “adik junior.” Apabila tiada bimbingan sosial dan emosi yang mantap, hubungan ini mudah bertukar menjadi dominasi dan penindasan. Tekanan akademik yang terbawa ke asrama sering dilampiaskan kepada rakan-rakan yang dianggap lebih lemah.

Kejadian tragis yang menimpa Zara Qairina Mahathir, pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah agama berasrama di Sabah pada Julai 2025, menjadi bukti bahawa isu buli di asrama bukan sekadar masalah disiplin, tetapi mencerminkan kegagalan sistem pendidikan mengurus aspek sosial dan emosi pelajar. Kes ini bukanlah yang pertama, masyarakat juga pernah digemparkan dengan kematian Muhammad Thaqif Amin pada tahun 2017 akibat penderaan di sekolah tahfiz, serta kes Zulfarhan Osman pada tahun 2021 yang diseksa sehingga meninggal dunia. Malah, beberapa insiden tular di asrama MRSM dan sekolah berasrama penuh sejak 2021 hingga 2023 memperlihatkan pola yang sama: pelajar melepaskan tekanan dalam bentuk dominasi, penghinaan, atau kekerasan terhadap rakan sebaya. Jika diteliti, akar masalahnya tetap serupa iaitu budaya pendidikan yang melebihkan pencapaian akademik tetapi mengabaikan pembangunan emosi dan kemanusiaan. Maka tidak hairanlah, buli membiak subur dalam ekosistem ini.

Emosi dan kemanusiaan yang terabai

Kajian-kajian psikologi pendidikan ada menunjukkan bahawa kecerdasan emosi dan kemahiran sosial adalah asas kepada pembentukan insan seimbang. Malangnya, aspek ini sering dipandang enteng kerana guru sendiri terikat dengan beban mengejar silibus. Akibatnya, pendidikan sosial dan emosi (Social Emotional Learning, SEL) yang sepatutnya menjadi “vaksin” terhadap gejala buli, gagal dilaksanakan dengan berkesan.

Situasi ini sejajar dengan Teori Kecerdasan Pelbagai Gardner (1983) yang menegaskan bahawa kepintaran bukan hanya diukur melalui akademik, tetapi juga melalui kecerdasan interpersonal dan intrapersonal. Jika dimensi ini diabaikan, kita hanya melahirkan pelajar seperti “mesin” atau “AI agent” – cekap menjawab soalan, tetapi tumpul dalam mengurus emosi dan memahami perasaan orang lain. Inilah antara faktor mengapa kes buli di asrama sukar dibendung.

Beban guru dan kekangan sistem

Kita juga tidak boleh menafikan beban guru sebagai pemain utama. Guru bukan sahaja perlu menyiapkan sukatan pelajaran dalam tempoh yang singkat, malah dibebani pelbagai tugasan pentadbiran. Ini menyebabkan masa untuk membimbing perkembangan sosial-emosi pelajar sangat terbatas. Guru yang mahu menekankan nilai empati, hormat-menghormati atau pengurusan emosi sering terpaksa mengorbankan masa pengajaran akademik – yang kelak akan dinilai dalam bentuk keputusan peperiksaan.

Di sinilah lahir dilema besar: sekolah didesak menghasilkan pelajar berprestasi tinggi, tetapi pada masa sama diharap melahirkan insan berakhlak mulia. Tanpa perubahan struktur, kedua- duanya sukar dicapai serentak.

Menuju pendidikan holistik untuk negara maju

Sudah tiba masanya Malaysia berani keluar daripada paradigma lama. Negara yang bercita-cita mencapai status maju tidak boleh bergantung pada sistem pendidikan yang hanya menekankan peperiksaan. Pendidikan holistik perlu diberi ruang, mengimbangi akademik dengan pembangunan sosial, emosi dan moral.

Program seperti SEL (Social Emotional Learning) harus dijadikan komponen wajib dalam kurikulum, bukan sekadar aktiviti sampingan. Guru pula wajar diberi latihan serta ruang masa untuk melaksanakan pendidikan emosi tanpa rasa tertekan mengejar silibus. Di peringkat asrama, modul kepimpinan berasaskan empati dan hormat perlu diperkenalkan bagi membina hubungan sihat antara senior dan junior.

Lebih penting, kejayaan pelajar perlu dinilai secara menyeluruh, bukan sekadar melalui angka di kertas peperiksaan. Jika tidak, kita hanya akan terus menghasilkan pelajar yang bijak menjawab soalan tetapi gagal mengawal perasaan, lalu mengalihkan tekanan mereka kepada rakan melalui buli.

Kesimpulannya, buli di asrama sekolah bukan sekadar isu disiplin yang boleh diselesaikan dengan hukuman. Ia adalah refleksi kelemahan sistem pendidikan kita yang terlalu taksub dengan akademik. Selagi emosi terabai, selagi sosial-emosi tidak diberi tempat sewajarnya, selagi itu buli akan terus membiak. Malaysia hanya akan benar-benar maju apabila berani mendidik pelajar bukan sekadar untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk menjadi manusia yang seimbang, berempati dan berperikemanusiaan.

 

 

Dr. Khadijah Md Ariffin

Pensyarah Kanan

Jabatan Pengurusan Harta Tanah

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Prof. Sr. Dr. Rozilah Kasim

Profesor

Jabatan Pengurusan Harta Tanah

Fakulti Pengurusan Teknologi Dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)