KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencatat sejarah membanggakan apabila berjaya dinobatkan sebagai penerima Malaysia’s Best TVET University Award (Transportation Technology) sempena Malaysia Education & TVET Awards 2025.

Pengiktirafan berprestij itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud kepada Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali dalam satu majlis yang berlangsung pada 28 Ogos 2025 bertempat di Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur.

Anugerah itu merupakan hasil inisiatif Malaysia Education & TVET Awards yang bertujuan menghargai institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang cemerlang dalam pelbagai bidang serta menunjukkan inovasi, kecemerlangan pengajaran dan sumbangan bermakna kepada sektor pembangunan negara.

Pengiktirafan itu sekali gus mengangkat UTHM sebagai peneraju dalam bidang Teknologi Pengangkutan, sesuai dengan bidang tujah universiti yang berfokus kepada pembangunan kepakaran, penyelidikan serta inovasi dalam sektor tersebut.

Menurut Prof. Mas Fawzi, UTHM sentiasa menjalin kerjasama erat dengan pihak industri bagi pembangunan program akademik yang relevan dan penawaran penyelesaian inovatif kepada cabaran industri pengangkutan negara.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja meningkatkan reputasi universiti di dalam dan luar negara, malah memperkukuh keyakinan industri terhadap kebolehan dan kepakaran UTHM dalam bidang teknologi pengangkutan.

“Saya berharap pengiktirafan ini juga dapat memberi inspirasi kepada graduan dan warga universiti untuk terus mencipta kecemerlangan pada masa hadapan,” katanya.

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 29 Ogos 2025: UTHM dinobatkan Malaysia’s Best TVET University Award

UTHM dinobatkan Malaysia’s Best TVET University Award