BATU PAHATUniversiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dianugerahkan Pemegang Kursi UNESCO dalam bidang Kompetensi Pendidik TVET dan Kemahiran Merentas Bidang Untuk Pembangunan Profesional, berkuat kuasa pada 30 Jun 2025 sehingga 30 Jun 2029.

Anugerah itu menjadikan UTHM tersenarai dalam kalangan universiti terkemuka dunia yang diberi mandat oleh UNESCO untuk memperkasa empat bidang utama iaitu bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penyelidikan, inovasi dan kepimpinan pendidikan.

Pelantikan selama empat tahun itu meletakkan UTHM di barisan hadapan dalam membentuk masa depan pendidikan teknikal dan vokasional selaras dengan Strategi Jangka Sederhana UNESCO 2022–2029 serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Profesor Emeritus Dr. Jailani Md Yunos, tokoh ilmuwan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam bidang TVET telah dilantik sebagai ketua yang akan melaksanakan inisiatif tersebut.

Menurut Prof. Jailani, kursi itu bukan sekadar gelaran tetapi ia merupakan satu misi berteraskan tiga objektif strategik utama iaitu pelaksanaan inisiatif secara menyeluruh dalam memperkasakan kemahiran merentas bidang, termasuk kesedaran keselamatan digital dan pengintegrasian etika dalam konteks TVET.

Selain itu, pemegang kursi itu juga bakal menerapkan kemahiran hijau dalam program latihan pendidik bagi memastikan mereka dilengkapi dengan pengetahuan dan prinsip kelestarian dalam amalan pengajaran mereka.

Ia juga berperanan membangunkan dan melaksanakan program holistik untuk memupuk kepelbagaian jantina, seterusnya menyemai budaya inklusif, kemajuan kerjaya dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pendidik dan pelajar TVET.

”Ketiga-tiga objektif ini menjadi panduan kepada agenda teras Kursi UNESCO dalam mentransformasikan TVET daripada model latihan konvensional kepada sebuah platform dinamik yang berteraskan inovasi, keterangkuman dan meningkatkan kerelevanan di peringkat global.

”Kursi ini akan berperanan sebagai pemangkin kepada penyelesaian berasaskan penyelidikan, kerjasama antarabangsa serta inisiatif pembangunan keupayaan yang memberi manfaat kepada pendidik, institusi dan komuniti TVET secara menyeluruh,” katanya.

Untuk rekod, Kursi UNESCO yang mula ditubuhkan pada tahun 1992 itu mempunyai lebih 950 kursi di lebih 120 negara, yang berperanan menyumbang kepada kemajuan ilmu dalam bidang pendidikan, sains dan budaya.

Di Malaysia, UTHM menyertai kelompok institusi ternama lain seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Asia Pacific University (APU) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang memegang kursi dalam pelbagai bidang antaranya pengajian masa depan, genetik, komunikasi antara budaya dan infrastruktur air lestari.

Dalam konteks tersebut, Kursi UNESCO @ UTHM akan memberi tumpuan kepada beberapa bidang iaitu TVET Hijau dan Kemahiran Lestari, TVET Inklusif dengan fokus kepada gender, etika dan pembangunan institusi, Digitalisasi TVET dan Pembangunan Kemahiran Merentas Bidang.

Melalui pelantikan itu, UTHM terus komited dalam mentransformasikan bidang TVET melalui inovasi, kesaksamaan dan kerjasama global.

Penganjuran Kursi UNESCO dalam Kompetensi Pendidik TVET dan Kemahiran Merentas Bidang Untuk Pembangunan Profesional itu merupakan satu pencapaian strategik dalam membentuk pendidikan masa hadapan yang cemerlang, beretika dan berdaya saing di pentas antarabangsa.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 23), 6 Ogos 2025: UTHM dianugerah Kursi UNESCO perkasa TVET, kemahiran

 

2. Utusan (utusan.com.my), 6 Ogos 2025: UTHM dianugerah Kursi UNESCO perkasa TVET, kemahiran

UTHM dianugerah Kursi UNESCO perkasa TVET, kemahiran