Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan melaksanakan pelbagai program patriotik bermula 15 Ogos sehingga 16 September 2025 akan datang bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia 2025 peringkat universiti.

Pelbagai program menarik telah disusun bagi meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan warga universiti, antaranya termasuklah Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat, Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Konvoi Jalur Gemilang, Jejak Sejarah di Bukit Kepong, Brisk Walk Merdeka UTHM bersama Naib Canselor, Forum Patriotisme dalam Era Digital, serta pameran berkaitan sejarah dan sumbangan alumni.

Program kemuncak adalah Perasmian Sambutan Bulan Kebangsaan dan Majlis Penutup yang turut diraikan bersempena sambutan Hari Malaysia.

Semua itu adalah sebagai usaha untuk menyuburkan rasa cinta kepada negara dan menghargai jasa pejuang terdahulu.

Selain bacaan yasin dan doa selamat, Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Konvoi Jalur Gemilang yang diadakan pada 19 Ogos 2025 lalu bertempat di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) merupakan permulaan untuk UTHM menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara ke-68.

Antara aktiviti yang diadakan bersempena peluncuran tersebut adalah aktiviti konvoi bermotosikal yang diketuai Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali dari kampus induk ke kampus Pagoh dengan membawa jalur gemilang.

Turut diadakan, penyerahan sumbangan kepada murid kategori B40 dari 10 sekolah sekitar Pagoh dan penyerahan ’Peranti Siswa’ kepada 33 pelajar UTHM yang terpilih sebagai tanda keprihatinan universiti kepada komuniti.

Lebih bermakna lagi, kumpulan konvoi bermotosikal terbabit turut bergerak ke Muzium Polis dan Galeri Darurat Bukit Kepong bagi menjayakan program “Jejak Sejarah” dan khidmat masyarakat.

Aktiviti tersebut bertujuan menyingkap dan menghayati kembali sejarah negara khususnya sejarah Bukit Kepong, selain memberi khidmat bakti kepada komuniti Johor melalui aktiviti pembersihan pusara prajurit tanah air.

Naib Canselor dalam ucapan perasmiannya berkata, sebagai sebuah universiti yang unggul, UTHM memikul amanah besar untuk menyumbang kepada kemajuan negara melalui pendidikan, penyelidikan dan khidmat kepada masyarakat.

“UTHM juga memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan generasi intelektual yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan, tetapi juga tinggi nilai moralnya, berjiwa patriotik dan bersedia memimpin negara menuju masa depan yang makmur dan sejahtera.

“Pengisian yang dirangka ini selaras dengan tema tahun ini Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, yang mengingatkan bahawa negara merdeka dan makmur tidak hanya diukur dengan pembangunan fizikal, tetapi juga dengan nilai kasih sayang, empati dan keprihatinan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

UTHM berharap sambutan Hari Kebangsaan itu dapat dijadikan pemangkin untuk memperkukuh rasa cinta warga kepada tanah air, sekali gus menjadi sumbangan kecil namun bermakna dalam membina Malaysia yang aman, makmur dan disegani.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 21 Ogos 2025: UTHM semarakkan sambutan Bulan Kebangsaan ke-68

UTHM semarakkan sambutan Bulan Kebangsaan ke-68

 

2. Kosmo (muka surat: 20 dan 21), 8 September 2025: UTHM hayati sejarah Bukit Kepong, bersih pusara perajurit