Oleh Suriayati Baharom

PUTRAJAYA – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalin kerjasama dengan The Organization for Industrial, Spiritual and Cultural Advancement (OISCA) dalam berapa bidang terutamanya bidang mobiliti pelajar, akademik, penyelidikan dan pembangunan komuniti dan alam sekitar selari dengan hala tuju Global Technopreneur University 2030.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, satu Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UTHM dan OISCA telah diadakan pada 6 Ogos 2025.

Perjanjian kerjasama itu akan ditandatangani oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, manakala OISCA pula diwakili oleh Naib Presiden Eksekutif OISCA International, Yasuaki Nagaishi, sambil di saksikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Untuk rekod, OISCA ialah sebuah pertubuhan yang berperanan untuk mempromosikan kerjasama antarabangsa dalam bidang industri, asas kerohanian dan penglibatan budaya.

Pertubuhan ini mempunyai pengalaman lebih 60 tahun, serta telah menubuhkan lebih 20 pusat latihan, 31 cawangan dan beberapa projek kerjasama dengan 41 negara.

Prof. Mas Fawzi dalam ucapannya berkata perjanjian kerjasama bagi tempoh lima tahun itu bakal memberi impak yang besar kepada UTHM terutama dalam aktiviti mobiliti dan pembangunan pelajar, projek penyelidikan, penempatan industri untuk staf akademik, perundingan bersama, tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi projek alam sekitar dan bidang kerjasama lain yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak.

“UTHM terus memainkan peranannya dalam memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun melalui hubungan erat dengan OISCA, sekali gus memperteguh kedudukan Malaysia dalam diplomasi pendidikan dan pembangunan mampan serantau.

“Rangkaian luas OISCA ini bakal memberi peluang yang baik kepada pelajar dan staf UTHM khususnya berkaitan mobiliti dan latihan industri antarabangsa, pertukaran pelajar serta projek penyelidikan dalam bidang seperti pengangkutan, aplikasi tenaga boleh diperbaharui, pembangunan komuniti dan pemuliharaan alam sekitar.

“Kerjasama ini juga berupaya memberi impak yang sangat signifikan dalam usaha universiti ke arah Global Technopreneur University 2030 terutama dalam melahirkan graduan yang kompeten, profesional, berdaya usahawan dan peka terhadap isu global, sekali gus mampu menangani cabaran sosio-alam sekitar yang kompleks,” katanya.

Sementara itu, Yasuaki dalam ucapannya pula berkata pada masa ini, Jepun sedang berdepan dengan isu penyusutan populasi yang mengakibatkan kekurangan tenaga kerja kronik.

“Oleh itu, sudah tiba masanya untuk Jepun dan Malaysia saling bertukar tenaga kerja muda, terutamanya pelajar universiti melalui program latihan teknikal, latihan industri dan penempatan di syarikat,” katanya.

Pengalaman OISCA selama enam dekad dalam mempromosikan kerjasama antarabangsa melalui penglibatan industri, asas kerohanian (pembangunan berteraskan nilai dan etika alam sekitar) serta penglibatan budaya, amat bertepatan dengan komitmen UTHM terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), pendidikan holistik dan kerjasama global.

Selain itu, inisiatif bersama seperti program khidmat masyarakat, program latihan pelajar dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan kempen kesedaran kelestarian di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa melalui rangkaian OISCA, akan memperkuatkan lagi impak sosial UTHM dan memenuhi fungsi ketiganya iaitu UTHM Prihatin.

Kolaborasi itu akan memposisikan UTHM sebagai universiti terkemuka Malaysia yang aktif mencari penyelesaian praktikal dan kolaboratif terhadap cabaran kelestarian global.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Utusan (utusan.com.my), 6 Ogos 2025: Pelajar UTHM dihantar ke Jepun kerjasama OISCA Jepun

Pelajar UTHM dihantar ke Jepun kerjasama OISCA Jepun

 

2. Berita RTM (berita.rtm.gov.my), 6 Ogos 2025: UTHM-OISCA buka peluang pelajar ikuti program mobiliti, latihan industri di Jepun

https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/kerjasama-uthm-oisca-buka-peluang-pelajar-ikuti-program-mobiliti,-latihan-industri-di-jepun3

 

3. Malaysian Tribune (malaysiantribune.com), 8 Ogos 2025: UTHM perkukuh jaringan global, meterai MoU bersama OISCA

UTHM perkukuh jaringan global, meterai MoU bersama OISCA

 

4. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 14 Ogos 2025: UTHM jalin kerjasama dengan OISCA, perkukuh hubungan Malaysia-Jepun

UTHM jalin kerjasama dengan OISCA, perkukuh hubungan Malaysia-Jepun