Oleh Dr. Mohd Zulfadli Rozali

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Shenzhen Polytechnic University (SZPU), dengan sokongan UNESCO Chair on Digitalization in TVET telah merasmikan penubuhan ‘China–ASEAN TVET Digital Capacity Building Centre’ di Malaysia pada Mei 2025 lalu.

Pusat tersebut yang akan dikoordinasikan oleh Pusat Pembelajaran Maya (CVL) UTHM, bertujuan untuk memperkasa kapasiti digital bagi institusi TVET dan universiti teknologi terapan di seluruh Asia Timur dan Tenggara.

Pusat itu juga akan berperanan dalam menyelaras dan menyebarkan maklumat latihan digital kepada pendidik Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Untuk memudahkan penubuhan pusat tersebut, satu delegasi SZPU yang diketuai oleh Dr. YANG Congkun, koordinator UNESCO Chair on Digitalization in TVET-SZPU, bersama delegasi Dr ZENG Xiuzhen, Ms. ZHONG Zhuoya, Dr. QU Haizhou, dan Dr. WU Qingtian, menghadiri majlis perasmian dan Bengkel Pembinaan Kapasiti Digital TVET di UTHM.

Pada 28 Mei lalu, delegasi SZPU menghadiri Global Digital TVET Transformation Summit (DOTS) 2025, yang dijalankan bersama “Bridging Innovation and Learning in TVET (BILT)” Bridging Event, yang dianjurkan bersama oleh UNESCO-UNEVOC dan UTHM di Kuala Lumpur.

Sidang kemuncak itu menekankan bagaimana teknologi digital mengubah pengajaran dan pembelajaran TVET, dan dihadiri oleh wakil dari UNESCO-UNEVOC, BIBB, serta institusi global lain.

Acara tersebut juga menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian (MoA) antara SZPU dan UTHM, sebagai simbolik kepada perasmian pusat tesersebut.

Manakal pada 29 Mei lalu, satu lagi bengkel iaitu Bengkel Pembinaan Kapasiti Digital TVET dianjurkan dengan kerjasama antara UNESCO Chair on Digitalization in TVET di SZPU dan Pusat Pembelajaran Maya di UTHM.

Bengkel tersebut menarik 73 peserta dari pelbagai institusi TVET, serta 121 peserta antarabangsa yang turut menyertai secara dalam talian.

Antara pengisiannya, Dr. ZENG Xiuzhen berkongsi strategi reka bentuk kurikulum digital dalam TVET, Dr. WU Qingtian membincangkan penggunaan model bahasa besar dalam teknologi Pendidikan dan Dr. QU Haizhou menyentuh aplikasi pembelajaran mendalam dalam konteks akademik dan industri.

Menurut Pengarah CVL, Profesor Madya Ts. Dr. D’oria Islamiah Rosli, majlis perasmian dan bengkel itu menandakan langkah penting dalam memperkukuhkan kerjasama serantau dalam bidang digitalisasi TVET, serta menyediakan platform untuk pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik antara institusi di Asia Timur dan Tenggara.

“Dengan adanya Pusat Pembinaan Kapasiti Digital TVET itu, UTHM dan SZPU berharap dapat mendorong transformasi digital dalam pendidikan teknikal dan vokasional, sekali gus memastikan pendidik TVET dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan terkini untuk menghadapi cabaran dunia pendidikan yang semakin berkembang,” katanya.