Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) baru-baru ini menandakan satu lagi fasa penting dalam usaha negara membina semula daya tahan ekonomi, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan mempercepat reformasi sektor awam. Dokumen perancangan lima tahun ini bukan sekadar peta hala tuju pembangunan, malah mencerminkan komitmen kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur secara lebih menyeluruh dan berasaskan nilai-nilai tadbir urus yang baik.
Namun demikian, kejayaan sebenar RMK13 tidak hanya bergantung pada keberanian mencetus dasar-dasar baharu, tetapi lebih kritikal lagi ialah sejauh mana ia dapat dilaksanakan dengan cekap, telus dan adil. Dalam konteks pentadbiran negara masa kini, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan sangat bergantung kepada tahap integriti dan ketelusan dalam pengurusan sumber serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.
RMK13 secara jelas meletakkan tatakelola sebagai tunjang kepada pencapaian matlamat pembangunan negara. Ia memperincikan keperluan untuk memperkukuh kestabilan pentadbiran, melaksanakan reformasi fiskal secara berhemah serta mempercepatkan transformasi digital dalam sektor awam. Ketiga-tiga komponen ini menjadi asas kepada pembinaan sistem pentadbiran negara yang lebih responsif, berakauntabiliti dan mesra rakyat.
Kestabilan pentadbiran yang dijamin melalui institusi yang bebas dan kukuh amat penting dalam memastikan pelaksanaan dasar berjalan lancar tanpa diganggu oleh ketidaktentuan politik. Dalam masa yang sama, reformasi fiskal yang menekankan kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam amat diperlukan bagi mengelakkan pembaziran, salah guna kuasa dan ketirisan.
Transformasi pendigitalan yang turut ditekankan dalam RMK13 pula membawa potensi besar dalam mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan, memperluas akses rakyat terhadap maklumat, dan mengurangkan kerenah birokrasi. Namun, kejayaan inisiatif ini bergantung kepada keupayaan kerajaan untuk membina sistem digital yang selamat, inklusif dan mudah diakses oleh semua golongan masyarakat.
Dalam usaha membina negara yang berintegriti dan bebas rasuah, pelaksanaan RMK13 menuntut satu anjakan budaya dalam kalangan penjawat awam dan pemimpin. Budaya kerja berteraskan integriti, ketelusan dan akauntabiliti perlu diperkukuh melalui latihan, pemantauan dan penguatkuasaan yang konsisten. Malah, penglibatan rakyat dalam menilai dan memantau pelaksanaan dasar perlu digalakkan sebagai sebahagian daripada prinsip keterbukaan dan keterlibatan awam.
Kesimpulannya, RMK13 telah meletakkan asas yang kukuh untuk transformasi pentadbiran negara ke arah yang lebih berintegriti, telus dan mampan. Namun, perancangan yang baik mesti disusuli dengan pelaksanaan yang berani dan berkesan. Harapan rakyat terhadap RMK13 bukan sekadar pembangunan fizikal atau angka pertumbuhan, tetapi terletak pada kemampuan kerajaan untuk melaksanakan dasar secara adil, telus dan bertanggungjawab. Hanya dengan itu, Malaysia mampu mengorak langkah menjadi negara yang benar-benar maju, makmur dan berdaya saing dalam erti kata sebenar.
Dr. Nur Yuhanis Ismon
Pensyarah kanan
Jabatan Pengurusan Harta Tanah
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
