Oleh Ts. Ahmad Anwar Safwan Sidek

BATU PAHAT – Semangat kenegaraan dan jati diri dalam kalangan mahasiswa baharu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus diperkasa menerusi penganjuran ‘Program Mahasiswa Negara @ UTHM’ yang berlangsung selama tiga hari, bermula 23 hingga 25 Julai 2025 lalu bertempat di Dewan Aktiviti Kolej Tun Fatimah, kampus induk.

Program yang dianjurkan secara kolaboratif oleh Majlis Pengetua Kolej Kediaman Luar Kampus (KKLK), Kolej Kediaman Dalam Kampus (KKDK) dan Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP) itu menyasarkan penyertaan mahasiswa tahun pertama sesi akademik 2024/2025.

Inisiatif itu dilaksanakan selaras dengan visi universiti untuk membentuk mahasiswa bertaraf global yang mempunyai semangat kenegaraan tinggi serta bersedia menjadi pemimpin masa depan negara.

Matlamat utama program itu adalah untuk menyatupadukan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang dalam satu platform inklusif yang berdaya saing, di samping memperkukuh kefahaman mereka terhadap dasar dan prinsip Malaysia Madani.

Program itu juga merupakan antara inisiatif berimpak tinggi yang digerakkan di bawah kerangka KPI Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Pengetua Universiti Awam Malaysia (MAPENA) dan Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti-universiti Malaysia (MAKLUM).

Sebagai persiapan, pasukan dari pelbagai kolej kediaman UTHM yang terdiri daripada Pengetua, Timbalan Pengetua, felo dan pembantu felo telah menjalani latihan Train of Trainers (TOT) sebelum melaksanakan program itu kepada para peserta.

Program itu turut mengetengahkan tiga modul utama iaitu Membina Negara, Interaktif Kenegaraan dan Smart Tunnel yang padat dengan nilai pembentukan sahsiah dan kenegaraan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razak turut hadir menyempurnakan majlis penutup yang diadakan pada hari yang sama.

Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa pembentukan mahasiswa berwawasan dan berakhlak tinggi merupakan kunci utama dalam merealisasikan aspirasi negara menuju masyarakat Madani yang progresif dan harmoni.

“Program Mahasiswa Negara @ UTHM 2025 bukan sahaja menjadi medan pemerkasaan mahasiswa, malah membuktikan komitmen UTHM dalam membentuk barisan pelapis negara yang berketerampilan, patriotik dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.