LAHAD DATU, 28 Julai 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengorak langkah dalam usaha menyumbang kepakaran kepada masyarakat melalui pembangunan teknologi yang memberi impak langsung kepada rakyat.
Terkini, UTHM melalui pasukan penyelidiknya yang diketuai oleh Dr. Alias Masek telah bekerjasama dengan Ittihad Maju Jaya Sdn. Bhd., sebuah syarikat terbitan UTHM yang dipimpin oleh Dr. Mohd Zainizan Sahdan, bagi membina sistem bekalan air bersih di Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu, Sabah.
Projek itu melibatkan pembinaan “0.5 MLD Semi-Desalination Water Treatment Plant,” iaitu loji rawatan air separa nyahgaram berskala sederhana yang dijangka mampu membekalkan sehingga 500,000 liter air bersih setiap hari kepada lebih 2,500 penduduk kampung.
Menurut Dr. Zainizan, keunikan sistem itu terletak pada penggunaan sepenuhnya air bawah tanah dari telaga tiub yang ditapis menggunakan teknologi rekaan penyelidik UTHM.
“Teknologi ini mampu menapis air payau dan menukarkannya kepada air tawar yang selamat untuk kegunaan harian,” katanya.
Projek khidmat masyarakat itu dibiayai oleh Yayasan Hasanah dan dilaksanakan oleh Ittihad Maju Jaya.
Usaha murni itu juga turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Tungku, YB Tuan Assaffal @ Samsul Kamal P. Alian untuk tampil membantu dengan mewakafkan sebahagian tanah miliknya bagi tujuan pembinaan sistem tersebut.
Sementara itu, sistem tangki air akan memanfaatkan kemudahan tangki sedia ada yang sebelum ini telah dibina oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
“Usaha itu bukan sahaja menjadi satu langkah proaktif dalam menyelesaikan isu bekalan air bersih di kawasan luar bandar, malah membuktikan bagaimana sinergi antara universiti, industri dan komuniti boleh mencetuskan perubahan positif dan mampan,” tambah Dr. Zainizan.




