Oleh Dr. Noor Amira Sarani
BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pejabat Kampus Lestari dengan kerjasama Yayasan UTHM telah menganjurkan Program Perekodan Bilangan Pokok dan Spesies Pokok bagi Zon 1 dan Zon 2 kampus dengan menggunakan aplikasi Geographic Information System (GIS), Remote Sensing, dan iNaturalist pada 3 Julai 2025 lalu.
Program itu merupakan sebahagian daripada usaha strategik universiti untuk mengukuhkan pengurusan biodiversiti serta menyokong pelaksanaan pemantauan karbon ke arah kampus rendah karbon.
Inisiatif itu menggabungkan teknologi GIS dan remote sensing untuk merekod lokasi pokok dengan lebih tepat, manakala aplikasi iNaturalist digunakan untuk mengenal pasti spesies pokok dengan penglibatan komuniti kampus.
Seramai 40 peserta terdiri daripada kakitangan dan pelajar terlibat secara aktif dalam perekodan lapangan di sekitar Persiaran Tun Ghafar Baba, Zon 1 dan Zon 2 UTHM.
Peserta turut diberikan taklimat penggunaan aplikasi GIS dan iNaturalist serta panduan mengenal pasti spesies pokok oleh pakar fasilitator.
Menurut pengarah program, Dr. Noor Amira Sarani, data yang diperoleh daripada program itu akan digunakan untuk menilai indeks kehijauan kampus, memantau kapasiti serapan karbon, serta merangka strategi pembangunan landskap yang lestari.
“Pendekatan ini membolehkan warga kampus terlibat secara langsung dalam usaha kelestarian melalui sains warga (citizen science), iaitu penglibatan orang awam dalam pengumpulan dan perkongsian data saintifik, selain meningkatkan pengetahuan mengenai kepelbagaian biodiversiti tempatan,” katanya.
Data GIS menunjukkan sebanyak 2,231 batang pokok di Zon 1 dan Zon 2 yang dikenal pasti berfungsi sebagai penyerap karbon, manakala rekod iNaturalist merekodkan 26 spesies tumbuhan, termasuk Chinese Fan Palm, Tabebuia rosea, Dillenia suffruticosa, dan pelbagai spesies lain.
Dapatan itu menjadi asas penting bagi pemantauan karbon serta perancangan pengurusan landskap hijau kampus secara bersepadu.
Program itu turut mencerminkan komitmen strategik universiti dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 15: Kehidupan di Darat).
Hasil daripada program tersebut, UTHM kini memiliki pangkalan data pokok yang lebih komprehensif untuk rujukan kajian akademik, perancangan penanaman semula dan analisis karbon secara berkala.
“Inisiatif itu dijangka akan diperluas ke zon lain di kampus bagi memastikan pemantauan biodiversiti dijalankan secara menyeluruh dan berterusan.
“Dengan adanya program sebegini, UTHM berhasrat memperkukuh reputasi sebagai kampus lestari di Malaysia, sambil memupuk kesedaran warga kampus tentang kepentingan pemeliharaan biodiversiti serta pengurangan jejak karbon,” tambah Dr. Noor Amira.



