Pendekatan pengajaran dan pembelajaran dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah menyaksikan pelbagai transformasi signifikan, khususnya sepanjang dekad ini. Kemunculan teknologi baharu seperti Augmented Reality (AR), Virtual Reality (VR), Mixed Reality (MR) dan Artificial Intelligence (AI) membuka ruang pembelajaran yang lebih luas, interaktif serta menyokong pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar. Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti, integrasi aplikasi TVET digital memperkukuh pedagogi yang bersifat inklusif, fleksibel dan lestari.
Bagi memenuhi objektif pembelajaran dan keperluan pelajar masa kini, institusi TVET perlu proaktif dan inovatif dalam menyediakan kaedah pembelajaran yang terkini dan menarik. Generasi hari ini amat mahir menggunakan ICT, dan peranti digital telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka. Walaupun penggunaan skrin sering dikaitkan dengan aktiviti seperti permainan, media sosial dan tontonan video, peranti ini sebenarnya berpotensi dijadikan alat pendidikan yang efektif. Maka, kita perlu akur terhadap perubahan semasa dan menjadikannya sebagai peluang untuk menyampaikan pendidikan secara lebih relevan dan holistik.
Penyampaian ilmu dalam pendidikan merangkumi konteks formal, bukan formal dan informal, yang masing-masing mempunyai kaedah dan pendekatan tersendiri. Melalui teknologi pendidikan, pelajar mampu meneroka pembelajaran secara mendalam dalam persekitaran yang lebih menarik. Apabila wujud kekangan dari segi lokasi, masa dan kandungan, transformasi digital menjadi pemangkin kepada perubahan landskap pembelajaran. TVET digital bukan sahaja relevan, malah berpotensi menjadi nadi utama pembelajaran masa depan. Persoalan yang timbul ialah: sejauh mana kita bersedia untuk beralih kepada paradigma baharu ini?
Pendekatan TVET digital menekankan pembelajaran berpusatkan pelajar (student-centered learning). Kandungan digital bersifat ‘learner-designed,’ direka bentuk untuk memenuhi keperluan pelbagai gaya pembelajaran, sama ada membaca, menonton visual, mendengar audio atau menjalani latihan praktikal. Teknologi membantu pengajar mencipta suasana pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan. Namun, cabaran seperti keterbatasan fasiliti dan kandungan yang tidak sejajar dengan keperluan industri masih wujud. Apakah kaedah yang terbaik bagi mengatasi masalah ini?
Antara contoh terbaik pendekatan ini ialah aplikasi HVAC VR yang dibangunkan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), yang menunjukkan bagaimana teknologi imersif boleh digunakan dalam latihan teknikal. Platform ini menggabungkan teknologi Unity, Blender dan set kepala PICO 4 untuk mensimulasikan prosedur sebenar dalam sistem Heating, Ventilation, and Air Conditioning (HVAC) termasuk pengenalpastian jenis refrigeran, penggunaan manifold gauge dan digital clamp ammeter, serta pemasangan hos secara maya. Kaedah ini membolehkan pelajar belajar secara selamat, mengulang latihan pada bila-bila masa, tanpa perlu bergantung kepada peralatan fizikal yang mahal.
Dari sudut pedagogi, aplikasi ini merangkumi tiga domain utama hasil pembelajaran yang saling melengkapi. Dalam domain kognitif, pelajar memperoleh pemahaman konsep yang lebih mendalam melalui pendekatan visual dan interaktif, sekali gus memperkukuh penguasaan teori. Domain psikomotor pula membolehkan pelajar mengasah kemahiran teknikal secara aktif menerusi simulasi praktikal yang menyerupai keadaan sebenar, menjadikan proses latihan lebih efisien dan selamat. Sementara itu, domain afektif menyumbang kepada peningkatan motivasi dan keyakinan pelajar melalui penglibatan kendiri yang memberi mereka kawalan terhadap proses pembelajaran. Gabungan ketiga-tiga domain ini secara keseluruhan menyokong pembentukan pelajar yang lebih kompeten, berpengetahuan dan bersedia menghadapi cabaran industri. Di samping itu, pelbagai platform digital lain boleh dimanfaatkan, seperti UTHM-Labtech Academy (https://uthm.labtech-academy.com/tvetlms/) yang menawarkan sumber pembelajaran moden dan fleksibel untuk tenaga pengajar serta pelajar TVET. Platform ini membolehkan pelajar menjalani simulasi pemasangan alatan kerja secara maya sebelum melaksanakan latihan amali sebenar. Dengan kelebihan untuk mengulang aktiviti sehingga mahir, pelajar dapat meneroka kandungan yang lebih kompleks secara kendiri, menjadikan pembelajaran lebih berkesan dan menjimatkan masa.
Pendekatan ini turut menyokong prinsip akses pendidikan yang saksama, yang mana pelajar dari kawasan luar bandar dan golongan berkeperluan kini berpeluang mengikuti latihan teknikal berkualiti tanpa kekangan geografi dan kos. Penggunaan teknologi pembelajaran digital membolehkan proses latihan dijalankan tanpa perlu membawa peralatan berat ke kawasan pedalaman, sekali gus mengurangkan beban kewangan kedua-dua pihak—institusi dan pelajar. Pelaburan dalam bidang pendidikan untuk generasi masa hadapan merupakan aset penting negara dalam membentuk masyarakat yang celik ilmu dan kompeten, khususnya dalam bidang TVET.
Seiring dengan aspirasi kerajaan Malaysia, TVET digital memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem pembelajaran yang mampan, inklusif dan responsif terhadap keperluan industri masa kini. Justeru, aplikasi TVET digital seperti HVAC VR dan platform pembelajaran digital 3D wajar diintegrasikan secara komprehensif dalam kurikulum TVET nasional. Pendigitalan kandungan TVET bukan sahaja memudahkan proses pengajaran dan penilaian, malah mempercepatkan proses penyampaian maklumat dan kemahiran secara konsisten di seluruh negara. Kerjasama antara institusi pendidikan, pihak industri dan pembuat dasar perlu diperkukuh bagi memastikan transformasi pendidikan TVET negara terus relevan, kompetitif dan berimpak tinggi.

Profesor Madya Ts. Dr. Affero Ismail
Jabatan Pendidikan Vokasional
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Bernama (bernama.com), 6 Ogos 2025: Pembelajaran TVET Digital Mampu Tingkat Kompetensi Pelajar oleh Prof. Madya Ts. Dr. Affero Ismail, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), UTHM
https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2451924
