Tarikh 31 Ogos setiap tahun menjadi detik bersejarah yang sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia. Tahun 2025, genap 68 tahun negara Malaysia bebas daripada belenggu penjajahan. Dalam arus pemodenan hari ini, terdapat stereotaip daripada sesetengah pihak yang telah mencipta persepsi, khususnya kepada generasi Z, yang seolah-olah mereka semakin alpa dan tidak lagi menghayati erti kemerdekaan sebenar.
Hakikatnya, pandangan secara pukul rata ini tidak adil dan tersasar jauh daripada realiti sebenar. Memang tidak dinafikan, segelintir anak muda nampak lebih leka dengan gajet dan media sosial, namun kita tidak boleh menafikan bahawa masih ramai antara mereka yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi. Malah, mereka menzahirkan semangat itu dengan cara yang lebih kreatif dan jauh berbeza berbanding generasi terdahulu.
Sebagai contoh, kita dapat melihat ramai anak muda terlibat secara aktif dalam sambutan Hari Kebangsaan melalui program sukarelawan, menghasilkan video kreatif atau poster infografik yang lebih mudah difahami bertemakan kemerdekaan, menyertai perbarisan, malah ada yang menulis dan berkongsi kisah perjuangan tokoh kemerdekaan dalam media sosial. Mereka juga menggunakan teknologi sebagai medium untuk menyebarkan semangat patriotik kepada rakan sebaya, menjadikan nilai kemerdekaan terus segar dalam jiwa.
Sebenarnya, generasi muda inilah yang menjadi penyambung legasi perjuangan. Mereka mungkin tidak mengibarkan bendera seperti zaman dahulu di jalanan, tetapi mereka mengibarkan ‘bendera’ semangat kemerdekaan dalam bentuk idea, inovasi dan kreativiti. Mereka sedar bahawa mengisi kemerdekaan adalah lebih mencabar selain mendapatkannya, justeru mereka berusaha mempersiapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan kesatuan demi memelihara negara tercinta.
Sebagai masyarakat, kita wajar memberi ruang dan kepercayaan kepada anak muda. Hentikanlah tanggapan stereotaip bahawa generasi Z tidak lagi menghayati atau menghargai kemerdekaan. Sebaliknya, pimpinlah mereka dengan contoh teladan, bimbingan dan dorongan agar mereka terus mencintai tanah air ini sepenuh hati.
Sekiranya generasi Z ini tidak diberi sokongan dan galakan, maka persepsi yang negatif akan terus menghujani minda semua lapisan generasi. Rentetan itu, semangat nasionalisme dalam kalangan anak muda akan luntur dan akan menimbulkan naratif patriotik yang berat sebelah. Tanggapan ini juga akan membuatkan generasi Z hilang motivasi untuk mempamerkan rasa sayang dan cinta terhadap negara.
Streotaip sebegini juga akan menjadi penghalang kepada inovasi kreatif dalam kalangan anak muda. Misalnya, bakat dan kreativiti generasi Z dalam penghasilan video pendek, penglibatan dan suara anak muda dalam media sosial akan tersekat. Hal ini demikian kerana, ketiadaan motivasi patriotisme memberi kesan kepada tindakan golongan muda untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara. Semangat ini tidak sepatutnya hanya dibataskan dengan cara konvensional seperti hanya berdiri tegak semasa lagu kebangsaan atau penglibatan dalam perbarisan semata-mata.
Oleh itu, streotaip ini perlu dikikis supaya generasi Z ini terus disantuni oleh semua generasi atas nilai kemanusiaan. Sehubungan itu, mereka pastinya akan terus berjuang demi nilai kemerdekaan dalam apa jua bentuk, baik secara konvensional mahupun digital kerana mereka akan menjadi pemangkin kepada pejuang kemerdekaan pada era modenisasi kini. Perkara ini selaras dengan tema hari kebangsaan, iaitu ‘Malaysia Madani, Rakyat Disantuni’ yang menjadi cerminan visi kepada kepada pengukuhan negara dengan pendekatan berteraskan nilai kemanusiaan.
Semoga sambutan Hari Kebangsaan ke-68 ini menjadi medan untuk kita menilai semula tanggungjawab bersama. Kemerdekaan ini bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dijulang dan dipertahankan oleh setiap generasi, tanpa mengira usia. Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-68, Malaysia Tanah Tercinta!

Nurulisyazila Othaman
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Nor Athira Md Amin
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Harian Metro (muka surat: 14), 14 Ogos 2025: Semangat patriotik orang muda tetap menyala

2. MyMetro (hmetro.com.my), 14 Ogos 2025: Semangat patriotik orang muda tetap menyala
https://www.hmetro.com.my/rencana/2025/08/1252010/semangat-patriotik-orang-muda-tetap-menyala
