PAGOH, 26 Ogos 2025 – Sebanyak 12 kontinjen dengan lebih 500 peserta berkampung di Stadium Gunasama Hab Pendidikan Pagoh, Muar seawal pukul 8 pagi bagi memeriahkan perarakan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Bertemakan ‘Jiwa Merdeka,’ perarakan tersebut disempurnakan oleh Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti.

Program perarakan anjuran Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat itu menyaksikan Kontigen Pejabat Pengurusan Makmal Kampus Pagoh meraih gelaran ‘Juara’ bagi kategori staf, manakala Kontinjen Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) bergelar ‘Naib Juara’.

Sementara itu, Kontigen Jabatan Kejuruteraan Mekanikal meraih gelaran ‘Juara’ bagi kategori pelajar, manakala Kontigen Jabatan Sains dan Matematik pula meraih gelaran ‘Naib Juara’.

Dato’ Sri Ibrahim dalam ucapannya berkata, universiti turut melibatkan pelajar dalam penganjuran kali ini bagi menyemai semangat perpaduan dan cintakan negara dalam kalangan generasi muda.

Menurut beliau, UTHM sentiasa menyokong usaha untuk membangun bakat pelajar bagi melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan bersedia menghadapi cabaran alaf 21.

“Usaha ini antara yang terkandung dalam modul GRITT yang mewakili lima nilai yang diterapkan dalam pembentukan DNA Kecemerlangan Mahasiswa iaitu Global, Resilience, Innovative, Trustworthy dan Talent.

“Modul tersebut dibangunkan bagi membentuk mahasiswa yang berciri holistik dan global seiring dengan hala tuju UTHM ke arah Global Technopreneur University 2030 (GTU 2030),” katanya.

Beliau turut menyeru warga universiti untuk memperkukuhkan lagi semangat perpaduan bagi mewujudkan suasana kampus yang harmoni.

“Ini kerana perpaduan adalah asas kekuatan sesebuah negara; apabila kita bersatu hati tanpa mengira perbezaan, kemajuan dan keharmonian pasti dapat dikecapi bersama,” tambah beliau.

Turut hadir memeriahkan perarakan, Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, Naib Canselor UTHM; Prof. Ir. Dr. Mohd Amri Lajis, Ahli Lembaga Pengarah Universiti; Prof. Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa); Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Prof. Dr. Afandi Ahmad, Provos UTHM Kampus Cawangan Pagoh dan Haji Naim Maslan, Pendaftar / Ketua Pegawai Operasi.

Kontigen Pejabat Pengurusan Makmal Kampus Pagoh (Juara)
Kontinjen Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (Naib Juara).
Kontigen Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (Juara)
Kontigen Jabatan Sains dan Matematik (Naib Juara)

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 3 September 2025: Lebih 500 peserta sertai perarakan, meriahkan sambutan bulan Kebangsaan ke-68 UTHM

Lebih 500 peserta sertai perarakan, meriahkan sambutan bulan Kebangsaan ke-68 UTHM