Kenyataan terkini daripada pihak berkuasa pengangkutan di Singapura berhubung perkhidmatan e-hailing rentas sempadan telah mencetuskan semula perbincangan strategik mengenai usaha memodenkan sistem pengangkutan antara Singapura dan Johor Bahru. Isu ini menjadi semakin relevan memandangkan Tambak Johor merupakan salah satu laluan darat tersibuk di dunia, dengan aliran harian penumpang yang tinggi bagi tujuan pekerjaan, pendidikan, pelancongan dan perdagangan. Perkhidmatan e-hailing rentas sempadan dilihat sebagai potensi pelengkap kepada sistem sedia ada, namun pelaksanaannya memerlukan analisis menyeluruh terhadap aspek peraturan, keselamatan, infrastruktur dan implikasi sosioekonomi bagi memastikan ia dapat meningkatkan kecekapan mobiliti tanpa menjejaskan pihak berkepentingan sedia ada. Walaupun pihak berkuasa pengangkutan Singapura menegaskan bahawa tiada rancangan untuk meliberalisasikan sepenuhnya perkhidmatan e-hailing rentas sempadan, cadangan sedang dipertimbangkan untuk menambah baik Cross-Border Taxi Scheme (CBTS) dengan membenarkan tempahan berasaskan aplikasi bagi teksi berlesen, serta memperluas titik naik/turun penumpang melebihi Terminal Ban San Street di Singapura dan Larkin Sentral di Johor Bahru.
Konsep ini menjanjikan kemudahan kepada pengguna di salah satu lintasan sempadan, namun pelaksanaannya berdepan pelbagai cabaran dari segi peraturan, operasi dan implikasi industri. Kajian kes dari kedua-dua belah Tambak Johor menunjukkan bahawa isu ini bukan sekadar soal kecekapan pengangkutan, namun ianya turut melibatkan kelangsungan pendapatan pemandu, integriti sistem peraturan, serta integrasi jangka panjang mobiliti rentas sempadan. Justeru, perkhidmatan e-hailing harus dilihat sebagai pelengkap kepada Sistem Transit Rapid (RTS), khususnya bagi memenuhi keperluan penumpang luar waktu puncak, mereka yang tinggal jauh daripada stesen RTS, dan pengguna dengan keperluan khusus seperti membawa bagasi besar atau keperluan kesihatan.
Meningkatkan kemudahan digital dan akses yang lebih luas
Bagi pengguna, tarikan perkhidmatan ini adalah jelas. Integrasi teksi CBTS ke dalam platform seperti Grab sebagai contoh membolehkan tempahan dan penjejakan kenderaan secara masa nyata, dapat memaparkan tambang yang telus dalam mata wang pilihan pengguna, menawarkan kaedah pembayaran tanpa tunai untuk keselamatan dan kemudahan dan memperluas titik naik atau turun penumpang bagi mengurangkan masa perjalanan “first mile” dan “last mile”.
Peluang sebegini dapat mengurangkan halangan perjalanan, terutamanya untuk penumpang yang tinggal atau bekerja jauh dari terminal atau stesen sedia ada, serta menyelaraskan perkhidmatan rentas sempadan dengan jangkaan digital yang telah menjadi kebiasaan dalam perjalanan domestik. Kajian di Malaysia menunjukkan pengguna cenderung memilih perkhidmatan e-hailing berdasarkan persepsi kegunaan, jangkaan prestasi dan kemudahan penggunaan.
Cabaran: Peraturan, keselamatan, industri dan infrastruktur
Kerangka peraturan Point-to-Point (P2P) Singapura yang mantap dan adaptif telah melalui pelbagai penambahbaikan untuk mengintegrasikan teknologi pengangkutan yang bersifat disruptif. Sebaliknya, pendekatan Malaysia adalah lebih longgar, menumpukan pada penambahbaikan undang-undang sedia ada berbanding pembentukan kerangka baharu sepenuhnya. Perbezaan ini menimbulkan isu seperti pengiktirafan lesen, kaedah pengiraan tambang, piawaian pemeriksaan keselamatan dan bidang kuasa penguatkuasaan.
Perkhidmatan e-hailing rentas sempadan memerlukan protokol keselamatan yang diiktiraf bersama. Usaha Malaysia untuk mengaplikasikan penarafan keselamatan ASEAN New Car Assessment Program (kenderaan akan menerima penarafan 1 hingga 5 bintang) dalam peraturan e-hailing menambah satu lagi lapisan pematuhan. Perlindungan insurans dan pengagihan liabiliti antara dua bidang kuasa masih belum diselesaikan, dan ini berpotensi menjejaskan perlindungan pengguna.
Di samping itu, kajian lanjut perkhidmatan e-hailing bandar-bandar utama di Malaysia menunjukkan kemasukan aplikasi e-hailing telah menyebabkan penurunan 47.7% dalam perjalanan harian, pengurangan 47.6% bilangan penumpang, dan kemerosotan pendapatan bulanan sebanyak 43.2% bagi pemandu teksi tradisional. Memandangkan ramai pemandu CBTS bergantung sepenuhnya kepada perjalanan rentas sempadan, liberalisasi yang tidak diurus dengan baik berisiko mempercepatkan kehilangan pendapatan pemandu teksi konvensional.
Platform e-hailing sememangnya mampu mengurangkan kos transaksi, meningkatkan ketelusan perkhidmatan, dan menawarkan fleksibiliti laluan. Namun, strategi harga yang tidak dikawal, termasuk mekanisme harga lonjakan (surge pricing), boleh memberi kesan negatif kepada ekosistem perkhidmatan e-hailing. Harga lonjakan yang berlaku semasa permintaan tinggi seperti waktu puncak, musim perayaan atau ketika gangguan perkhidmatan awam; akan secara tidak langsung boleh mencetuskan ketidakstabilan pendapatan pemandu dan kos perjalanan kepada pengguna. Bagi pemandu, walaupun harga lonjakan berpotensi meningkatkan pendapatan jangka pendek, ia juga mewujudkan ketidaktentuan pasaran yang sukar diramal dan mungkin menjejaskan kelestarian pendapatan dalam jangka panjang. Bagi pengguna pula, kenaikan mendadak tambang boleh mengurangkan kebolehcapaian perkhidmatan, seterusnya menimbulkan isu keadilan.
Selain itu, perluasan lokasi naik atau turun penumpang dalam perkhidmatan e-hailing rentas sempadan bukan sahaja menambah titik akses bagi pengguna, malah memerlukan perancangan semula infrastruktur sokongan di kedua-dua negara. Langkah ini penting untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan strategik seperti pusat bandar, pintu masuk sempadan, dan terminal pengangkutan awam. Di samping itu, ia memastikan keselamatan penumpang melalui reka bentuk zon ambil dan turun khas yang mempunyai ciri kawalan trafik, pencahayaan mencukupi, papan tanda jelas, serta laluan pejalan kaki yang selamat. Penyediaan zon khusus di hab pengangkutan utama ini akan memudahkan aliran penumpang, mengurangkan risiko kemalangan, dan meningkatkan pengalaman perjalanan secara keseluruhan.
Tambahan pula, operasi e-hailing rentas sempadan memerlukan sistem pembayaran digital yang bukan sahaja selamat daripada risiko penipuan dan kebocoran data, malah mampu beroperasi secara saling serasi (interoperable) antara kedua-dua negara. Interoperabiliti ini penting untuk memastikan proses pembayaran tambang dapat dilakukan tanpa gangguan, termasuk penukaran mata wang secara automatik, pemprosesan masa nyata, serta pematuhan terhadap keperluan pelaporan kewangan di kedua-dua bidang kuasa. Walau bagaimanapun, perbezaan ketara dalam peraturan teknologi kewangan (fintech) antara Singapura dan Malaysia seperti piawaian keselamatan, had transaksi dan pelesenan penyedia e-dompet masih menjadi halangan utama kepada penyelarasan sistem. Keadaan ini menuntut kerjasama bilateral untuk mewujudkan garis panduan bersama yang melindungi pengguna dan membolehkan transaksi rentas sempadan dilaksanakan dengan lancar, telus, dan boleh dipercayai.
Pendekatan berhati-hati ke arah pelaksanaan rentas sempadan
Perkhidmatan e-hailing rentas sempadan antara Singapura dan Malaysia adalah satu idea yang semakin relevan, tetapi memerlukan reka bentuk pelaksanaan yang teliti. Jika dilaksanakan dengan baik, ia mampu memodenkan CBTS yang berusia puluhan tahun, memperluas pilihan pengguna, dan mengintegrasikan rangkaian mobiliti serantau. Namun, jika dilaksanakan secara tergesa-gesa, ia boleh membawa kepada kebuntuan peraturan, ketidakstabilan pasaran, dan kemerosotan pendapatan pemandu.
Hala tuju terbaik adalah melalui pelaksanaan berperingkat berdasarkan bukti, dengan memulakan skala kecil, mengumpul data dan membina kepercayaan dua hala serta penyelarasan peraturan yang kukuh. Dengan meletakkan aspek keselamatan, keadilan dan integrasi sebagai teras, kedua-dua negara berpeluang menyediakan perkhidmatan yang mencerminkan realiti di Tambak Johor yang dinamik, berpermintaan tinggi dan sensitif dari segi politik serta menjadi penanda aras baharu bagi tadbir urus mobiliti rentas sempadan di ASEAN.

Profesor Madya Dr. Nor Aziati Abdul Hamid
Pensyarah Kanan (Profesor Madya)
Ketua Pusat Kecemerlangan Industri Rel
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
