Di Malaysia, pendidikan tinggi dilihat sebagai medium mobiliti sosial yang mampu mengubah nasib keluarga, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40). Namun, realitinya, kehidupan mahasiswa B40 di universiti bukanlah semudah yang digambarkan. Kos sara hidup yang meningkat saban tahun, ditambah dengan keperluan akademik, menimbulkan cabaran kewangan yang serius. Menurut laporan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tahun 2024, lebih 460,000 pelajar IPT adalah daripada keluarga B40, yang bermakna majoriti mereka berada dalam tekanan ekonomi. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan pengajian, malah turut memberi kesan kepada kesihatan mental pelajar.

Kajian pada tahun 2023 telah mendedahkan hampir 49% pelajar B40 mengalami tekanan kewangan pada tahap tinggi, manakala selebihnya berada pada tahap sederhana. Situasi ini mengundang persoalan besar: Bagaimana tekanan kewangan ini mempengaruhi kehidupan mereka, dan apakah solusi yang boleh mengubah keadaan?

Tekanan kewangan dan impaknya terhadap mahasiswa B40

Peningkatan harga barang asas serta keperluan khusus seperti sewa kediaman, pengangkutan, dan bahan pembelajaran menuntut belanja bulanan yang tidak kecil. Kajian mendapati kebanyakan pelajar B40 membelanjakan kurang daripada RM1,000 sebulan untuk keperluan asas, menyebabkan mereka terpaksa mencatu makanan dan mengurangkan aktiviti sosial. Malah, 33% pelajar mengaku makan hanya dua kali sehari atas dasar berjimat.

Keadaan ini memberi kesan domino kepada kesihatan mental. Tekanan kewangan yang berpanjangan boleh mencetuskan kebimbangan, kemurungan, dan keletihan mental, sekali gus menjejaskan prestasi akademik. Ada kajian mendapati kesempitan kewangan bukan sahaja mempengaruhi kesejahteraan emosi individu, tetapi juga mempengaruhi tingkah laku sosial mereka. Dalam konteks mahasiswa, ini boleh membawa kepada ponteng kuliah, kegagalan menyiapkan tugasan dan akhirnya, risiko tercicir daripada pengajian.

Cabaran tambahan: Mental vs akademik

Mahasiswa B40 bukan sahaja berdepan dengan tekanan kewangan, tetapi juga konflik masa dan tenaga. Untuk menampung keperluan harian, ramai yang memilih untuk bekerja sambilan. Laporan dalam Berita Harian tahun 2019, pelajar yang bekerja sambilan cenderung kehilangan fokus terhadap pengajian kerana kepenatan fizikal dan mental. Ini sejajar dengan dapatan kajian pada tahun 2023, yang mana kebanyakan pelajar mengaku sanggup mengikat perut atau menangguh pembelian buku dan alatan pembelajaran kerana kekangan kewangan. Keadaan ini menimbulkan dilema: Adakah mahasiswa harus terus mengharapkan bantuan atau mencari jalan keluar yang lebih berdaya tahan?

Ilmu pemasaran digital: Jalan keluar yang relevan

Pada era digital, pemasaran dalam talian bukan lagi bidang eksklusif usahawan besar. Platform seperti Shopee, TikTok Shop dan Instagram membuka ruang luas untuk sesiapa sahaja, termasuk mahasiswa, menjana pendapatan secara fleksibel tanpa modal besar. Peluang ini harus dilihat sebagai strategi survival yang bijak, bukan sekadar sampingan.

Mengapa pemasaran digital? Pertama, ia memerlukan modal permulaan yang rendah. Mahasiswa B40 boleh memulakan perniagaan secara dropship tanpa menyimpan stok. Kedua, ia fleksibel dari segi masa, membolehkan pelajar menyesuaikan jadual perniagaan dengan waktu kuliah. Ketiga, pemasaran digital melatih kemahiran abad ke-21 seperti komunikasi, kreativiti, analisis data dan pengurusan masa yang mana kemahiran-kemahiran ini adalah kemahiran yang sangat dihargai dalam pasaran kerja.

Bagaimana mahasiswa B40 boleh bermula?

Mahasiswa boleh mengenal pasti ‘niche product’ dengan memilih produk yang relevan dengan komuniti pelajar, seperti aksesori telefon, produk penjagaan diri, atau makanan ringan. Mereka juga boleh manfaatkan platform percuma seperti media sosial untuk memasarkan produk. Kandungan kreatif seperti video pendek di TikTok mampu menarik perhatian dengan kos sifar. Selain itu, mereka disarankan belajar Ilmu ‘Digital Marketing’ melalui kursus percuma yang ditawarkan melalui platform seperti Google Digital Garage atau Shopee University. Mahasiswa juga boleh mengambil langkah berani membangunkan jenama sendiri dengan cara menonjolkan identiti unik mereka melalui kreativiti kandungan untuk menghadapi persaingan. Selain usaha tersebut, manfaatkanlah juga bantuan kerajaan dan universiti melalui program seperti SULUNG KPT dan bantuan zakat universiti untuk dijadikan modal awal bagi memulakan langkah.

Kesan positif pemasaran digital terhadap kesejahteraan mahasiswa

Pemasaran digital bukan sahaja menawarkan peluang untuk menjana pendapatan, tetapi juga membawa kesan positif yang besar kepada kesejahteraan mahasiswa, khususnya golongan B40. Dengan adanya sumber pendapatan tambahan, mereka tidak lagi terlalu bergantung kepada bantuan zakat atau ibu bapa. Walaupun jumlah pendapatan mungkin kecil, sekitar RM300 hingga RM1,000 sebulan, ia sudah memadai untuk menampung kos asas seperti makanan dan pengangkutan. Kestabilan ini secara langsung mengurangkan tekanan kewangan dan memberi ketenangan fikiran untuk menumpukan perhatian kepada pengajian.

Selain itu, penglibatan dalam pemasaran digital meningkatkan keyakinan diri dan rasa berdikari. Mahasiswa yang mampu mencari solusi sendiri terhadap masalah kewangan akan membina harga diri yang lebih kukuh. Lebih penting, pemasaran digital membantu mengurangkan kebimbangan yang sering mengiringi masalah kewangan, sekali gus memperbaiki kesejahteraan mental mereka. Dari sudut jangka panjang, kemahiran yang diperoleh melalui pemasaran digital seperti pengurusan masa, strategi komunikasi dan kreativiti kandungan mampu menjadi aset berharga dalam pasaran kerja. Malah, ramai graduan yang bermula dengan perniagaan digital kecil-kecilan sewaktu di universiti kini berkembang menjadi usahawan berjaya. Oleh itu, pemasaran digital bukan sekadar penyelesaian sementara, tetapi platform untuk menjana pendapatan dan membina kerjaya masa depan.

Kerajaan, universiti dan pihak industri harus lebih proaktif menyediakan platform latihan pemasaran digital khusus untuk mahasiswa B40. Modul ini boleh disepadukan dalam program kokurikulum atau sebagai kursus kredit. Dengan pendekatan ini, universiti bukan sahaja membantu pelajar keluar daripada tekanan kewangan, tetapi juga melahirkan graduan yang bersedia untuk dunia ekonomi digital.

Mahasiswa B40 ialah aset negara yang harus diberi perhatian serius. Tekanan kewangan yang mereka hadapi bukan sekadar isu kewangan, tetapi krisis kesejahteraan mental yang boleh menjejaskan masa depan mereka. Menguasai pemasaran digital bukan sahaja menjadi jalan keluar daripada kesempitan ekonomi, tetapi juga membuka peluang keusahawanan yang mampan. Dalam dunia yang semakin berteknologi tinggi, ilmu pemasaran digital bukan lagi pilihan, tetapi keperluan. Dengan usaha bersama, kita mampu mengubah tekanan kewangan menjadi peluang emas untuk transformasi hidup mahasiswa B40 dan keluarga mereka.

 

Dr. Anim Zalina Azizan

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)