Oleh Nur Awatif Syamila Syamsull Faizal
KLUANG – Seramai 51 pelajar Tingkatan 4 daripada empat sekolah menengah sekitar Kluang menerima pendedahan awal kepada dunia pengaturcaraan dan pembangunan sistem melalui Program Tautan Ilmu FSKTM anjuran Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Program yang berlangsung di Dewan Bestari Sekolah Tinggi Kluang pada 24 Julai 2025 lalu itu melibatkan pelajar-pelajar yang mengambil subjek Sains Komputer bagi persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.
Bengkel intensif separuh hari itu memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka bidang pembangunan laman web dan pengaturcaraan SQL secara praktikal.
Program itu menghimpunkan pelajar daripada empat sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Mengkibol, SMK Simpang Renggam, SMK Dato’ Haji Hassan Yunos dan Sekolah Tinggi Kluang, yang kesemuanya di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kluang.
Untuk rekod, program tersebut merupakan kesinambungan kepada inisiatif yang telah dimulakan sejak tahun 2024 dan kini memasuki fasa keempat pelaksanaannya.
Penganjuran secara bersiri itu adalah hasil usaha bersepadu Kelab Teknologi Maklumat bersama Jabatan Kejuruteraan Perisian FSKTM dan Pejabat Pendidikan Daerah Kluang.
Menurut Pengarah Program, Mohamad Irfan Mohd Kamili, pendekatan bengkel secara langsung itu membolehkan pelajar memahami dengan lebih jelas konsep yang selama ini dipelajari secara teori di dalam bilik darjah.
“Setiap peserta menunjukkan minat mendalam dan semangat yang tinggi bagi memahami teknologi terkini.
“Malah guru-guru yang hadir turut menyifatkan program ini sebagai pemangkin yang mampu mencetus motivasi tinggi dalam kalangan pelajar untuk menceburi bidang Sains Komputer pada masa hadapan,” katanya.
Hasil penilaian program menunjukkan bahawa kesemua objektif penganjuran telah berjaya dicapai sepenuhnya.
Ini termasuklah pendedahan awal kepada disiplin pengaturcaraan, pengenalan kepada teknologi semasa seperti web development, SQL dan Kecerdasan Buatan (AI), serta pemahaman asas terhadap pembangunan sistem yang digunakan dalam dunia sebenar.
Para peserta berpeluang melihat sendiri bagaimana teknologi seperti HTML, CSS, JavaScript dan SQL digunakan dalam membangunkan sistem sebenar, sekali gus memberikan mereka pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna dan praktikal.
Tambah Mohamad Irfan, program yang diusahakan oleh dua Pensyarah FSKTM iaitu Ts. Dr. Mohd Amin Mohd Yunus dan Profesor Madya Dr. Nureize Arbaiy bersama fasilitator itu turut membantu para peserta untuk mengaitkan pembelajaran teori yang dipelajari di sekolah dengan aplikasi sebenar di dunia industri dan universiti teknikal.
“Mereka juga mendapat gambaran yang lebih jelas berkaitan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dan peranan institusi seperti UTHM dalam memperkasa pendidikan teknologi di peringkat nasional,” katanya.
FSKTM berharap penganjuran program seumpama itu mampu menjadi jambatan penghubung antara universiti dan sekolah dalam memperkukuhkan lagi hubungan strategik selaras dengan agenda memperkasakan pendidikan STEM negara secara menyeluruh dan inklusif.

Berita ini juga diterbitkan di:
1. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com.my), 15 Ogos 2025: 51 pelajar Tingkatan 4 terokai dunia teknologi maklumat bersama UTHM
