KUALA LUMPUR – Graduan Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah dengan Kepujian, Nur Aqilah Mohd Rashid dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima penganugerahan khas ketika berlangsungnya Konvokesyen & Majlis Makan Malam Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (BOVAEP) ke-27 pada 22 Ogos 2025 lalu bertempat di The Majestic Hotel Kuala Lumpur.

Anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying itu sebagai tanda penghargaan atas kecemerlangan akademik serta dedikasi yang diberikan beliau sepanjang pengajian.

Pengiktirafan itu turut menjadikan Nur Aqilah sebagai inspirasi kepada mahasiswa lain yang menceburi bidang pengurusan harta tanah, selain mencerminkan usaha gigih universiti dalam melahirkan modal insan berkualiti tinggi bagi profesion penilaian, pentaksiran, ejen harta tanah dan pengurusan harta.

Ketua Pengarah Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta (JPPH), Sr Abdul Razak Yusak yang juga Presiden BOVAEP dalam ucapan perasmiannya berkata kejayaan itu bukan sahaja mencerminkan pencapaian individu, malah membuktikan potensi besar generasi muda dalam mengangkat profesion berkenaan ke tahap yang lebih tinggi di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Majlis itu turut dihadiri oleh ahli profesional dari industri, para pensyarah dan wakil universiti serta keluarga penerima anugerah bagi turut sama meraikan kajayaan yang diraih.