Antara ‘like’ di skrin dan tindakan di lapangan, mampukah kita mengubah emosi menjadi komitmen? Setiap kali negara menyambut Bulan Kebangsaan, media sosial kita mula berwajah patriotik, gambar profil diletakkan ilustrasi bendera, video 60 saat tentang sejarah dimuat naik, puisi kemerdekaan dan lagu-lagu kebangsaan mengisi halaman. Setiap lapisan umur terutama anak muda ada di sana melihat hantaran-hantaran tersebut. Ini petanda positif bahawa semangat negara mampu hidup dalam ekosistem digital. Namun selepas pesta itu berlalu, persoalan penting muncul, adakah cinta negara memadai dengan menekan butang ‘like’ sahaja?

Kita tidak perlu memilih antara dunia maya dan nyata, keduanya boleh saling menguatkan, yang penting ialah menyepadukan ekspresi pantas di skrin dengan tindakan berterusan dalam komuniti. Lima anjakan praktikal boleh dijadikan panduan:

Pertama: Daripada ‘like’ kepada ‘learn’

Pasangkan setiap hantaran patriotik dengan pautan ringkas “Belajar 3 Minit” berisi fakta sejarah, tokoh pelbagai etnik dan bidang, serta hak dan tanggungjawab warganegara. Emosi tanpa pemahaman mudah hilang; pemahaman mengekalkan minat.

Kedua: Daripada ‘share’ kepada ‘serve’

Gunakan platform komuniti untuk menukar momentum maya kepada jam khidmat. Contohnya dengan menderma darah, gotong-royong, kelas literasi digital atau bimbingan akademik. Setiap penyertaan direkodkan sebagai “jejak impak,” bukan untuk menunjuk, tetapi menormalisasi budaya berkhidmat.

Ketiga: Daripada ‘trend’ kepada ‘tradition’

Rakaman kreatif tentang makanan, muzik, bahasa, kraf dan permainan rakyat menjadikan warisan mudah diakses dan ditiru. Trend berlalu, tradisi bertahan, jadikan kandungan digital sebagai arkib hidup.

Keempat: Daripada ‘noise’ kepada ‘nuance’

Patriotisme menuntut adab bermedia. Selitkan modul semak fakta 10 minit, cara menilai sumber dan etika berhujah. Perpaduan matang terbina melalui wacana bernuansa, bukan suara paling kuat.

Kelima: Daripada ‘slogan’ kepada ‘solution’

Galakkan mikro-inisiatif komuniti yang boleh diukur impaknya contohnya dengan mewujudkan perpustakaan mini, membudayakan amalan pengasingan sisa atau mengadakan bengkel kemahiran digital. Dokumentasikan prosesnya, biar orang ramai melihat bagaimana semangat “sayangi negara” diterjemah menjadi perubahan kecil yang konsisten.

Pokok pangkalnya, patriotisme ialah tabiat, bukan acara, bukan ritual bermusim, tetapi tabiat harian yang tumbuh melalui tindakan kecil dan berulang, diperkukuh oleh komuniti dan dipermudah oleh teknologi. ‘Like’ ialah permulaan, namun langkah selepas itulah yang menentukan makna kemerdekaan dalam hidup kita.

Mungkin cinta negara bermula dengan ‘like,’ tetapi ia menjadi dewasa apabila jari yang menyentuh skrin juga sanggup menyentuh kehidupan orang lain. Persoalannya bukan mudah atau tidak menekan ‘like’, tetapi apa yang dilakukan selepas itu. Di situlah makna jiwa merdeka disuburkan setiap hari.

 

 

 

Profesor Ts. Dr. Elmy Johana Mohamad

Pensyarah Kanan

Jabatan Kejuruteraan Elektronik

Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik

***

Pengarah

Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)