Oleh Dr. Mohd Yussni Hashim, PM Ir. Dr. Noor Yasmin Zainun, PM Dr. Munzilah Md. Rohani
BATU PAHAT — Seramai 20 peserta terdiri daripada usahawan komuniti telah terpilih menyertai program “Dari Desa ke Pasaran: Latihan Asas Perniagaan” pada 10 Ogos 2025 lalu bertempat di kampus induk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Program anjuran Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) di bawah geran APPGM-SDG itu diketuai oleh Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, UTHM, Profesor Madya Ir Dr. Noor Yasmin Zainun dan dibantu oleh Profesor Madya Dr Munzilah Md Rohani.
Para peserta berpeluang mempelajari ilmu keusahawanan yang dirangka dalam bentuk 12 modul latihan berfasa dan akan berlangsung setiap hujung minggu.
Modul-modul tersebut merangkumi pelbagai aspek penting dalam keusahawanan, direka untuk memberikan pendedahan menyeluruh kepada peserta, daripada pembentukan minda dan strategi perniagaan, sehinggalah kepada pemasaran dan pengurusan operasi.
Turut terlibat, Dr. Mohd Yussni Bin Hashim dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Profesor Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri, Profesor Madya Dr. Siti Sarah Omar, Profesor Madya Sr. Dr. Noralfishah Sulaiman dan Ts. Dr. Muhammad Asyraf Hasim dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, UTHM.
Menurut Dr. Noor Yasmin, program latihan itu merupakan permulaan kepada satu inisiatif berstruktur yang menyasarkan pemerkasaan komuniti berpendapatan rendah di bawah Parlimen Sri Gading.
“Gabungan ilmu akademik dan pengalaman sebenar peserta menjadikan setiap sesi bukan sekadar latihan, tetapi satu proses pemerkasaan yang menyeluruh.
“Ia membuka ruang kepada transformasi minda, daripada sekadar menjalankan perniagaan kepada membangunkan impian dengan strategi,” katanya.
Sementara itu, majlis perasmian yang diadakan pada hari yang sama telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sri Gading, YB Aminolhuda Hassan.
Beliau turut menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha membina kapasiti ekonomi masyarakat setempat melalui pendidikan dan kolaborasi rentas institusi.
“Diharapkan perkongsian modul-modul ini akan memberi banyak manfaat dan membentuk usahawan yang lebih yakin, berwawasan dan bersedia untuk melangkah lebih jauh.
“Program ini bukan sahaja menjadi jambatan antara universiti dan komuniti, tetapi juga simbol harapan bahawa ilmu dan pengalaman, apabila digabungkan secara strategik, mampu mencetuskan perubahan sebenar dalam kehidupan peserta dan perniagaan mereka,” tambah Dr. Noor Yasmin.



