Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT – Seramai 544 staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dari pelbagai skim dan gred perkhidmatan telah menerima anugerah di Majlis Anugerah Bitara Kirana yang berlangsung pada 11 Ogos 2025 bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.
Majlis tersebut menyaksikan seramai 205 staf menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, manakala Anugerah Jasa Bakti (43), Anugerah Taat Setia (158), Anugerah Khas Panel Penilaian Sumber Manusia (50), Anugerah Jasa 30 Tahun (15), penerima Anugerah Sukan (9) dan Anugerah Inspirasi Cendekiawan (28).
Majlis Anugerah Bitara Kirana yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang diadakan setiap tahun bertujuan memberi penghargaan kepada mereka yang telah memberi khidmat bakti terbaik dalam melaksanakan tugas, mahupun sumbangan lain seperti kegiatan sukan, sosial dan kemasyarakatan.
Pada masa yang sama, seramai 36 pesara turut diraikan dalam majlis tersebut bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka sepanjang perkhidmatan.
Majlis telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Seri Ibrahim Ahmad selaku wakil rasmi Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Anesee Ibrahim.
Dato’ Seri Ibrahim dalam ucapannya berkata Anugerah Bitara Kirana itu bukan sahaja merupakan satu bentuk penghargaan terhadap dedikasi dan kerja keras warga kerja UTHM, tetapi juga sebagai inspirasi kepada semua untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
Beliau turut berpesan kepada warga kampus agar dapat mengubah budaya kerja masing-masing ke arah yang lebih baik lagi, selain tidak cepat berputus asa dengan setiap cabaran yang dihadapi kerana itu adalah satu bentuk peluang untuk diri belajar dan terus berkembang.
“Anda semua adalah tonggak kekuatan universiti, oleh itu teruskan usaha dengan penuh semangat dan keyakinan, kerana kejayaan hari ini adalah langkah awal untuk lebih berjaya pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali juga turut merakamkan penghargaan dan rasa terima kasih beliau kepada semua warga kerja UTHM yang telah memberi sumbangan yang terbaik dalam memastikan kecemerlangan universiti.
Prof. Mas Fawzi turut menyeru warga kerja kampus agar sentiasa bersedia menerima perubahan kerana beliau percaya orang yang berjaya sering berusaha meningkatkan kemahiran dan kompetensi diri.
Majlis anjuran Pejabat Sumber Manusia itu turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Profesor Ir. Dr. Mohd Amri Lajis; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq; Provos UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Dr. Afandi Ahmad dan Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Haji Naim Maslan.




