Oleh Prof. Madya ChM. Dr. Norhayati Muhammad
PAGOH – Seramai 30 pelajar sulung program Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya memperoleh sijil masing-masing setelah menyertai Kursus Pensijilan Profesional Eksekutif Halal JAKIM pada 16 hingga 18 dan 21 hingga 24 Julai 2025 lalu bertempat di UTHM Kampus Cawangan Pagoh.
Kursus pensijilan tersebut merupakan anjuran FAST dengan kerjasama UTHM Bitara dan Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWAJ) iaitu sebuah Pusat Latihan Halal (PLH) berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Program tersebut diadakan bertujuan melengkapkan pelajar dengan kemahiran profesional ‘Eksekutif Halal’ sebagai nilai tambah yang relevan dengan keperluan industri halal, sekali gus meningkatkan peluang penempatan industri serta prospek kerjaya pada masa hadapan.
Sepanjang tujuh hari program berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai pengisian teori dan praktikal, diakhiri dengan penilaian bagi setiap modul.
Menurut salah seorang peserta, Muhammad Nur Syazwan Samsudin, salah satu latihan praktikal untuk pengisian Modul Audit Dalaman Halal, yang melibatkan tiga premis makanan di Kampus Cawangan Pagoh, merupakan pengalaman yang amat berharga.
“Latihan itu berupaya memberi peluang kepada pelajar untuk melaksanakan audit di premis sebenar, sekali gus mengukuhkan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah,” katanya.
Program itu digerakkan oleh Tenaga Pengajar Halal (TPH) yang diiktiraf JAKIM terdiri daripada Dr. Haji Muhammad Suhaimi Datuk Haji Sulong, Profesor Madya Ts. Dr. Norazlin Abdullah, Prof. Madya Ts. Dr. Faridah Kormin, Dr. Fazleen Izzany Abu Bakar, Dr. Nur Hafizah Malik dan Dr. Wan Ainaa Mardhiah Wan Zahari.
Sementara itu, Profesor Madya ChM. Dr. Norhayati Muhammad, yang juga sebagai TPH, para peserta menunjukkan komitmen tinggi serta kerjasama yang baik sepanjang kursus berlangsung.
“Lebih manis lagi mereka berjaya menamatkan penilaian teori dan praktikal dengan cemerlang,” ujarnya.


