Oleh Ts. Nur Azliza Ahmad
PETALING JAYA, 13 Ogos 2025 – Kesemua 15 projek yang dipertandingkan oleh Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Engineering, Science and Technology Exhibition 2025 (ESTE’2025) berjaya meraih 15 anugerah inovasi peringkat antarabangsa.
Menurut salah seorang penyelia pelajar, Ts. Nur Azliza Ahmad pencapaian itu merupakan rekod terbaik sejak PPD menyertai pertandingan empat tahun lalu, sekali gus membuktikan kemampuan pelajar UTHM untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
“Bertemakan “Soaring the Skies: A Look into the Future of Innovation and Advancement,” ESTE’2025 memberi tumpuan kepada pemerkasaan mahasiswa secara menyeluruh melalui penerapan nilai HUSSEIN-GRITT (Global, Resilience, Innovative, Trustworthy dan Talent), yang menjadi tunjang kepada pembentukan DNA Kecemerlangan Mahasiswa UTHM.
“Kejayaan 30 pelajar PPD itu membuktikan bahawa nilai tersebut telah diterjemahkan dalam bentuk pencapaian yang nyata dan berimpak tinggi,” katanya.
Daripada keseluruhan pencapaian tersebut, satu projek dari kategori ‘Kejuruteraan Awam’ berjaya meraih pingat perak, manakala kategori Kejuruteraan Elektrikal & Elektronik mencatat kejayaan cemerlang menerusi enam projek yang membawa pulang tiga pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa.
Pelajar turut mendominasi kategori ‘Anugerah Khas’ dengan meraih lapan pengiktirafan melalui enam projek, iaitu Best Project, Best Poster (2), Best Presenter, Best Demonstration, Best Innovative & Creative, serta Potential Project (2).
Lebih membanggakan, dua projek telah mengungguli ‘Potential Project Award,’ iaitu Sistem Pemantauan Kerusi Penumpang Kereta dengan IoT, seliaan Ts. Ahmad Alabqari Ma’radzi dan IoT-Integrated Smoke Detection System for Residential College Using Real Time Monitoring – UTHM Pagoh seliaan Nur Azliza.
Kedua-duanya projek tersebut berjaya menandingi penyertaan pelajar sarjana muda dari universiti lain.
Untuk rekod, sebanyak 56 projek telah dipertandingkan melibatkan pelajar sarjana muda dan diploma dari institusi ternama seperti MAHSA University selaku tuan rumah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Asia Pasific University (APU), UCSI University, Sunway University, Lincoln University College, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Sepang, Vellore Institute of Technology dan Dr. M.G.R. Educational and Research Institute, Chennai, India.
Sementara itu, panel penilai pula terdiri daripada pakar akademik dan industri antaranya daripada UTHM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Sunway College, Agensi Nuklear Malaysia, Dyson LTD, Ericsson Resource & Competence Center dan Petrobus Resources.
“Kejayaan itu turut disokong oleh komitmen tinggi para pensyarah selaku penyelia serta kesungguhan pelajar tahun satu, dua dan semester khas yang berani menerima cabaran untuk beraksi di peringkat antarabangsa,” tambah Nur Azliza.



Berita ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 18 Ogos 2025: 30 pelajar diploma UTHM rangkul 15 anugerah ESTE2025
