Oleh Mohamad Zulhafiz Shafiq Zulhilmi Cheng

BATU PAHAT – Seramai 133 ahli Peladangnita Pertubuhan Peladang Johor telah menyertai Bengkel Pembuatan Yogurt Nenas anjuran Pusat Masyarakat Living Lab Bandar Muar bagi mempelajari resipi yogurt berasaskan nenas.

Bengkel dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Johor dan Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu berlangsung pada 22 hingga 25 Julai 2025 lalu.

Program itu dijalankan secara bersiri melalui enam sesi bertempat di UTHM kampus induk dan kampus cawangan Pagoh, melibatkan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) serta Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST).

Bengkel tersebut memberi pendedahan kepada peserta, khususnya pengusaha nenas tentang teknik menghasilkan yogurt berasaskan buah tempatan, selain memahami aspek keselamatan makanan dan kaedah penyimpanan yang betul.

Selain itu, peserta juga diperkenalkan kepada manfaat probiotik serta strategi pengkomersialan produk berasaskan nenas.

Menurut penyelaras program, Profesor Madya Dr. Hamizah Mohd Safuan, inisiatif itu merupakan usaha memperkasakan wanita peladang dengan ilmu baharu yang mampu menjana pendapatan lebih tinggi.

“Penghasilan yogurt nenas bukan sahaja menambah nilai kepada hasil pertanian, malah membuka peluang kepada peserta untuk menceburi pasaran makanan kesihatan yang semakin mendapat permintaan,” katanya.

Beberapa pakar dalam bidang teknologi dan penyediaan makanan dari UTHM turut bergabung tenaga berkongsi ilmu melalui bengkel itu, antaranya Dr. Raden Mohd Farhan Helmy Raden Ismail, Nur Diyana Mohd Yazid, Adibah Aishah Md Sahak, Dr. Mohamad Zulhafiz Shafiq Zulhilmi Cheng, Ts. Dr. Aida Safina Aridi dan Dr. Shahidah Md. Nor.

Wakil peserta, Norazlin Saiffuddin Hong, 58 dari Muar berkata bengkel itu memberinya pengalaman baharu yang membuka ruang pemikiran ke arah peluang perniagaan lebih luas.

“Bengkel ini memberi saya keyakinan bahawa yogurt nenas boleh menjadi produk unik dengan nilai tambah tinggi, sesuai untuk dipasarkan kepada pengguna moden yang lebih mementingkan gaya hidup sihat,” katanya.

Peserta lain turut menyatakan rasa teruja kerana bengkel tersebut memberi mereka keyakinan untuk meneroka bidang pemprosesan makanan, sekali gus mengubah cara mereka melihat hasil pertanian daripada hanya produk asas kepada produk hiliran yang bernilai tinggi.

Penganjuran program seperti itu mampu memperkukuh peranan wanita dalam industri agro-makanan serta menyokong agenda nasional dalam memperkasa sektor hiliran berasaskan pertanian.

“Dengan adanya latihan praktikal dan sokongan akademik daripada universiti, pengusaha nenas di Johor kini berpeluang melangkah lebih jauh ke arah menjadi usahawan agro-inovatif yang mampu menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa,” tambah Dr. Hamizah.