Oleh Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin, Dr. Norshela Mohd Noh, Dr. Norhaliza Abu Bakar
MUAR, 17 Julai 2025 – Bagi menyebarluaskan kepakaran pengajaran kepada komuniti, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan program ‘An Algebra a Day Keeps the D Grades Away’ melibatkan penyertaan 150 pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Sains Muar, Johor.
Program kerjasama dengan Pejabat Hubungan Komuniti dan Industri (ICRC) itu mengetengahkan penguasaan asas algebra bagi memperkukuh pengetahuan serta kemahiran pelajar dalam subjek Matematik, khususnya dalam topik yang sering dianggap mencabar iaitu algebra.
Menurut ketua program, Dr. Norshela Mohd Noh, algebra bukan sahaja menjadi asas penting dalam bidang Matematik, tetapi juga menjadi nadi utama dalam pelbagai cabang ilmu kejuruteraan, sains komputer, teknologi, ekonomi dan lain-lain aplikasi dunia sebenar.
“Oleh itu, pemahaman kukuh dalam algebra adalah sangat penting bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dan bersedia ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Program itu turut menghasilkan enam modul pengajaran algebra ringkas dan padat hasil penulisan bersama Dr. Norshela, Dr. Norhaliza Abu Bakar dari Pusat Pengajian Diploma dan Ts. Dr. Wan Nor Munirah Ariffin dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, UTHM.
Modul-modul itu dirangka secara sistematik bagi memperkukuh konsep asas serta mengaplikasikannya dalam bentuk latihan dan penyelesaian masalah.
Sementara itu, program bersama pelajar sekolah terbabit turut diisi dengan sesi ceramah dan pengajaran secara interaktif yang dikendalikan oleh para pensyarah Matematik, UTHM Kampus Cawangan Pagoh.
Sinergi kepakaran itu bukan sahaja memperkukuh penyampaian ilmu, malah turut meningkatkan visibiliti serta keupayaan para pensyarah UTHM dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) negara.
“Sambutan positif daripada Pengetua, Mohd Fared Samin, warga sekolah serta penglibatan aktif para pelajar membuktikan program sebegitu amat signifikan untuk diteruskan pada masa akan datang.
“UTHM komited untuk terus memperluas khidmat kepakaran akademik kepada komuniti melalui platform yang menyatukan institusi pengajian tinggi dan sekolah dalam memperkasakan pendidikan generasi masa depan,” tambah Dr. Norshela.


