Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim
BATU PAHAT, 1 Julai 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP) sekali lagi mencipta sejarah apabila menerima penghargaan sebagai ‘Penganjur Paling Responsif’ sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2025 Peringkat Negeri Johor.
Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mohtar Pungut @ Hj. Ahmad dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kompleks Pejabat-Pejabat Kerajaan, Kluang, Johor.
Penghargaan itu diberikan atas kejayaan UTHM menganjurkan kempen derma darah secara konsisten, sekali gus berjaya mencatatkan jumlah penyertaan penderma dan jumlah beg darah yang memberangsangkan di negeri Johor.
KKKP bukan sahaja berjaya menggerakkan sukarelawan dalam kalangan mahasiswa, malah turut berjaya mengumpul lebih 600 beg darah sepanjang tempoh program dijalankan.
Menurut penasihat program, Dr. Mohd Faisal Hushim pencapaian itu hasil komitmen kukuh antara pihak pengurusan kolej, pelajar, sukarelawan dan agensi kesihatan Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
“Kami amat menghargai pengiktirafan ini yang membuktikan kesungguhan UTHM dalam menggerakkan warga kampus dan masyarakat setempat untuk tujuan kebajikan dan kemanusiaan,” katanya.
Untuk rekod, pengiktirafan itu bukanlah yang pertama bagi KKKP kerana sebelum ini mereka pernah menerima beberapa anugerah di peringkat negeri dan juga kebangsaan.
Pengiktirafan tersebut termasuklah Penganjur Kempen Derma Darah Paling Komited bagi tahun 2022 dan 2023, Penganjur Kempen Derma Darah Paling Komited/Responsif serta Kempen Derma Darah dengan Kutipan Tertinggi pada tahun 2022.
KKKP juga aktif dalam pelaksanaan pelbagai aktiviti kebajikan, kesihatan dan kesukarelawanan, menjadikannya antara entiti yang sentiasa menjadi rujukan dalam pembangunan sahsiah pelajar secara holistik.
Tambah Dr. Mohd Faisal, pihak KKKP akan terus memperkasakan budaya prihatin dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warganya.
“Dengan pengiktirafan sebagai Penganjur Paling Responsif, kolej kediaman ini berharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kempen kesihatan dan kebajikan pada masa akan datang,” katanya.

