BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Ranhill SAJ Sdn. Bhd. bekerjasama membantu komuniti Orang Asli Leboh memulihara sumber air bawah tanah mereka daripada ancaman pencemaran dalam satu program khidmat masyarakat yang diadakan 26 Jun 2025 lalu.
Seramai 41 orang telah terlibat termasuklah kakitangan dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Pejabat Pengurusan Makmal, UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Yayasan UTHM, Sekretariat Pelajar Teknologi Kejuruteraan Awam (CETSS) dan Orang Asli Leboh.
Ranhill SAJ telah menyumbang penapis baharu secara in-kind kepada penduduk kampung sebagai tanda sokongan terhadap usaha pemeliharaan sumber air.
Melalui tajaan dana yang diperoleh daripada Yayasan UTHM, dengan kerjasama Pejabat Kampus Lestari (SCO), beberapa aktiviti telah dijalankan seperti kerja-kerja pembersihan tangki penapisan air, penggantian lapisan batu penapis, penukaran jaring dawai lama kepada yang baharu dan gotong-royong membersihkan kawasan sekitar.
Pada masa yang sama, Profesor Madya Dr. Mimi Suliza Muhamad dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan turut memberi taklimat berkaitan kerja-kerja pemulihan sistem penapisan air kepada semua penduduk kampung yang hadir bagi meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan pengurusan sumber air yang lestari.
“UTHM berharap pelaksanaan program seumpama itu dapat mengukuhkan lagi kerjasama antara bersama Ranhill SAJ dalam menangani isu komuniti yang memerlukan, sekali gus merapatkan hubungan persaudaraan sesama insan,” kata Dr. Mimi Suliza.
Sementara itu, Ketua Kampung, Tok Lim Abdul Rahman mewakili seluruh penduduk kampung amat berterima kasih kepada Ranhill SAJ atas sumbangan batu penapis tersebut dan UTHM yang telah membantu membersih dan menaik taraf sistem penapisan air bagi memastikan kualiti air yang lebih bersih untuk kegunaan harian mereka.




