Bermula 1 Julai 2025 lalu, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bukan sekadar isu harga barang naik, tetapi perubahan besar terhadap cara rakyat Malaysia merancang kewangan harian, memahami tanggungjawab fiskal, dan membentuk budaya ekonomi yang lebih matang. SST kini perlu dilihat bukan semata-mata sebagai beban kewangan, tetapi sebagai peluang memperkukuh disiplin berbelanja dan membina asas ekonomi yang lebih lestari.

Rakyat berhak tahu dan faham

Sebagai warganegara dalam sistem demokrasi moden, rakyat berhak mengetahui ke mana perginya hasil cukai yang dibayar. Ketelusan dalam pelaksanaan SST penting untuk memelihara kepercayaan rakyat terhadap kerajaan. Ini menuntut laporan terbuka, komunikasi yang jelas, dan penglibatan aktif masyarakat dalam menilai impak dasar fiskal kepada kehidupan harian mereka.

Kesan psikologi dan corak perbelanjaan

SST akan mempengaruhi bagaimana rakyat membuat keputusan kewangan. Pengguna kini berdepan dilema memilih perkhidmatan awam yang murah tapi sesak, atau swasta yang pantas tapi mahal. Sebagai contoh, kos rawatan klinik swasta mungkin meningkat, memaksa rakyat berpendapatan sederhana bergantung sepenuhnya kepada sistem kesihatan awam. Impaknya bukan hanya pada poket, tetapi juga pada struktur sosial dari akses pendidikan hingga kepercayaan terhadap sistem awam.

Keadilan sosial harus diutamakan

Paling terkesan dengan SST ialah golongan berpendapatan rendah. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan pelaksanaan SST disertai langkah mitigasi seperti subsidi bersasar, pengecualian cukai ke atas perkhidmatan asas dan bantuan tunai untuk kumpulan rentan. Cukai ini harus menjadi instrumen yang menyokong keseimbangan pembangunan, bukan menambah jurang sosial.

Mendidik masyarakat jadi pengguna bijak

Sisi positif SST ialah peluang mendidik rakyat tentang kepenggunaan yang rasional. Dengan cukai sebagai pertimbangan, pengguna akan mula membezakan keperluan dan kehendak, menilai semula komitmen kewangan, serta memilih produk tempatan dan perkhidmatan bebas cukai. Ini mampu merangsang ekonomi tempatan dan mengubah budaya berbelanja ke arah lebih lestari.

Peranan semua pihak

Kejayaan SST tidak terletak pada kerajaan sahaja. Peniaga perlu berlaku jujur dan tidak mengambil kesempatan untuk mengaut untung berlebihan. Media, institusi pendidikan, dan masyarakat sivil juga wajar memainkan peranan dalam mendidik pengguna mengenai hak, tanggungjawab dan celik fiskal.

Kesimpulannya, SST adalah peluang untuk membentuk negara yang lebih matang dari segi kewangan dan sosial. Ia memerlukan rakyat yang faham, bukan hanya membayar cukai, tetapi juga menghayati tujuannya demi negara yang inklusif, adil dan mampan. Kini masanya untuk kita semua bergerak dari pasif kepada aktif, dari rungutan kepada tindakan, dan dari pengguna biasa kepada warganegara yang bijaksana.

 

Profesor Madya Dr. Khairunesa Isa

Jabatan Sains Sosial

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 31), 26 Julai 2025: SST buka peluang urus belanja dengan lebih bijak 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 26 Julai 2025: SST buka peluang urus belanja dengan lebih bijak 

SST buka peluang urus belanja dengan lebih bijak