Jepun merupakan salah satu destinasi utama pilihan pelajar lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Sebagai sebuah negara maju, khususnya dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, Jepun mempunyai kelebihan yang mampu menarik minat pelajar untuk menyambung  pengajian di sana. Di samping itu, hubungan diplomatik yang kukuh antara Malaysia dan Jepun turut memudahkan laluan pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di negara tersebut. Hubungan dua hala ini telah terjalin sejak sekian lama dan menjadi semakin erat selepas Dasar Pandang ke Timur diperkenalkan pada tahun 1982. Melalui dasar ini, ramai pelajar Malaysia berpeluang menimba ilmu di universiti-universiti terkemuka Jepun.

Bagi pelajar yang bercita-cita menyambung pengajian di Jepun, beberapa aspek perlu diberi perhatian sebelum membuat pilihan. Perkara-perkara utama seperti kelayakan akademik, sihat tubuh badan dan sumber kewangan yang mencukupi (sama ada sumber peribadi atau tajaan, seperti biasiswa atau pinjaman boleh ubah), merupakan persediaan asas yang perlu dipertimbangkan oleh setiap pelajar dan juga ibu bapa. Selain itu, persediaan fizikal juga perlu dilakukan dengan sebaiknya sebelum menjejakkan kaki di Jepun agar pelajar lebih tenang dan dapat memberikan tumpuan kepada pengajian apabila berada di sana nanti. Kebimbangan berada di persekitaran baharu juga akan dapat dikurangkan, sekiranya semua persediaan telah disediakan sebaiknya.

Selain persediaan fizikal, persediaan dari segi mental dan emosi juga tidak kurang pentingnya untuk dipertimbangkan sebelum pelajar memilih negara matahari terbit ini sebagai destinasi pengajian. Apabila berada di persekitaran yang baharu, perasaan “terasing” lazimnya akan dirasai, terutamanya pada fasa awal keberadaan di sana. Pelajar mungkin berasa keseorangan, lebih-lebih lagi jika tiada rakan senegara atau pelajar asing lain di institusi yang dipilih. Dalam situasi sebegini, pelajar perlu bersikap terbuka, bersederhana dalam banyak perkara, merendah diri dan sentiasa bersopan santun agar mudah diterima dalam masyarakat Jepun. Sikap sebegini bukan sahaja memudahkan proses penyesuaian diri, malah dapat membantu emosi pelajar daripada perasaan sunyi dan “terasing”.

Pelajar yang memilih Jepun sebagai destinasi pengajian, disarankan agar bersedia untuk hidup secara berdikari dan menguruskan banyak perkara secara bersendirian, terutamanya pada peringkat awal pengajian. Pada tahap ini, pelajar tidak boleh terlalu bergantung dengan orang lain. Disebabkan perbezaan budaya, bahasa, bangsa dan agama, adakalanya pelajar mungkin terasa seperti dipinggirkan. Justeru, penting untuk mempelajari dan memahami budaya serta cara hidup masyarakat Jepun sebelum pelajar berada di sana. Dapatkan maklumat sebanyak mungkin tentang apa yang disukai oleh orang Jepun dan juga perkara yang sebaliknya. Dengan memahami budaya dan cara hidup orang Jepun, hubungan baik dengan masyarakat setempat akan lebih mudah terjalin, sekali gus membantu menjamin kestabilan emosi sepanjang berada di sana nanti.

Bagi pelajar yang beragama Islam pula, perlu difahami bahawa Jepun bukanlah sebuah negara Islam. Majoriti penduduknya menganut agama Shinto dan Buddha, iaitu dengan anggaran sekitar 84 hingga 96 peratus. Bilangan masjid dan surau masih terhad, begitu juga dengan makanan yang berstatus halal. Walau bagaimanapun kebelakangan ini terdapat peningkatan dalam penyediaan kemudahan seperti surau dan juga kafeteria yang menawarkan makanan halal dan ‘Muslim Friendly’, terutamanya di universiti dan kawasan yang mempunyai komuniti Islam. Pelajar disarankan untuk membuat persediaan awal dan mendapatkan maklumat daripada laman web rasmi universiti, termasuk bilangan pelajar antarabangsa, kemudahan yang disediakan dan status penyediaan makanan halal. Penting juga untuk menghormati budaya dan kepercayaan masyarakat Jepun, kerana mereka cenderung menjauhkan diri daripada individu yang dilihat ekstrem dalam beragama serta tidak menghormati penganut agama-agama lain.

Selain itu, untuk menjamin kestabilan emosi, pelajar digalakkan untuk membina hubungan sosial dengan rakan-rakan lain yang turut akan melanjutkan pengajian ke Jepun atau yang telah berada di sana. Pelajar perlu mengambil inisiatif untuk mengenali dan membina hubungan dengan komuniti seperti ini. Melalui pendekatan seperti ini, pelajar boleh mendapatkan maklumat berkaitan pelbagai persoalan yang terlintas di fikiran serta berkongsi kisah dan pengalaman yang pernah dilalui oleh mereka. Dengan demikian, kebimbangan sebelum sampai ke negara Jepun dapat dikurangkan. Malah, sekiranya berlaku sebarang permasalahan yang sukar diselesaikan, sekurang-kurangnya pelajar mempunyai tempat untuk berkongsi dan mendapatkan sokongan. Hubungan sosial yang baik dengan komuniti sebegini juga dapat membantu pelajar menangani pelbagai cabaran apabila berada di Jepun kelak. 

Kemahiran berbahasa Jepun adalah sangat penting dalam memastikan seseorang pelajar dapat mengharungi setiap cabaran dalam pembelajaran dan juga dalam kehidupan seharian di Jepun. Umum mengetahui bahawa bahasa Jepun boleh dianggap sebagai bahasa tunggal dalam komunikasi di Jepun. 99 peratus bahasa ibunda orang Jepun ialah bahasa Jepun itu sendiri. Bahasa Jepun digunakan dalam semua urusan di Jepun, termasuk urusan rasmi dan juga urusan tidak rasmi, seperti komunikasi seharian. Kemahiran bahasa Jepun ini perlu dikuasai, walaupun kursus yang akan dipilih nanti dijalankan dalam bahasa Inggeris. Dengan menguasai bahasa Jepun, komunikasi dengan pelajar tempatan, pensyarah serta penduduk setempat akan menjadi lebih mudah. Keadaan ini dapat membantu mengurangkan jurang perbezaan budaya serta mempercepatkan proses penyesuaian dengan persekitaran baharu.

Pelajar yang memilih Jepun sebagai destinasi pangajian perlu menguasi bahasa Jepun dan lulus ujian kecekapan bahasa Jepun yang dikenali sebagai JLPT (Japanese Language Proficiency Test), dengan sekurang-kurangnya pada tahap N2 (setara B2, CEFR) sebelum memasuki institusi pengajian di sana. JLPT terdiri daripada lima tahap, dengan N5 merupakan tahap terendah. Selain menguasai bahasa Jepun dari segi pertuturan, pelajar juga perlu menguasai tiga jenis tulisan Jepun, iaitu Hiragana, Katakana dan Kanji. Kursus kemahiran bahasa Jepun ini biasanya sudah terkandung dalam silibus pusat-pusat persediaan pengajian ke Jepun yang terdapat di Malaysia. Dari segi emosi, pelajar perlu bersedia menghadapi cabaran dalam mempelajari dan menguasai bahasa Jepun, kerana antara halangan terbesar ialah penguasaan tulisan Kanji, terutamanya bagi pelajar yang tidak mempunyai asas dalam bahasa tersebut.

Kesimpulannya, sebelum pelajar memilih Jepun sebagai destinasi pengajian, banyak perkara yang pelajar perlu diambil perhatian. Persediaan sebelum menyambung pengajian ke Jepun perlu dirancang sebaiknya dan perlu dilihat secara menyeluruh merangkumi pelbagai aspek, seperti akademik, kewangan, logistik, bahasa, fizikal dan emosi. Semasa menghadiri kursus-kursus persediaan sebelum melanjutkan pengajian ke Jepun, pelajar akan didedahkan dengan kemahiran-kemahiran asas ini, terutamanya dalam kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Jepun. Namun, persediaan dari segi emosi juga adalah sangat penting. Dengan memahami perkara asas seperti ini, pelajar dan ibu bapa dapat menimbangkan keputusan untuk melanjutkan pengajian ke Jepun dengan sewajarnya. Persediaan awal yang baik akan membantu pelajar menyesuaikan diri serta menghadapi setiap dugaan dan cabaran dengan lebih yakin dan tenang.

 

Siti Hajar Bidin

Guru Bahasa

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Hiyama Junko @ Noor Siti Abdullah

Guru Bahasa

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Bernama (bernama.com), 8 Julai 2025: Persediaan Andai Jepun Destinasi Untuk Sambung Pengajian 

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2442534