BATU PAHAT – International Research and Innovation Symposium Competition (RISE) 2025 yang telah berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim (DSI), kampus induk pada 25 dan 26 Jun lalu telah berjaya menarik penyertaan 300 produk di bawah 17 kluster hasil inovasi penyelidik dan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan juga sekolah sekitar Johor.
Untuk rekod, RISE merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), UTHM.
Menurut Pengarah ICC, Profesor Eur. Ing. Ir. Ts. Dr. Shahiron Shahdan, RISE 2025 yang bertemakan ‘Transformasi Digital Madani’ memberi tumpuan kepada kepentingan penyelidikan, pembangunan inovasi dan pengkomersialan produk yang dihasilkan oleh universiti ke arah yang lebih cemerlang dan melangkaui batasan.
Penganjuran RISE bertujuan merancakkan lagi aktiviti penyelidikan terhadap penemuan baharu, mengetengahkan idea serta memberi peluang kepada kumpulan penyelidik tempatan mahupun antarabangsa berkongsi hasil inovasi mereka.
Tambah beliau, pada tahun ini RISE telah memperkenalkan beberapa anugerah baharu iaitu empat anugerah daripada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan tiga anugerah lagi bagi kategori sekolah.
RISE 2025 turut membawa pembaharuan dengan menyediakan platform kepada pempamer dalam kalangan industri untuk turut sama mempamerkan produk mereka dan berkongsi rezeki melalui penajaan bagi menjayakan program itu.
“Pada tahun ini, UTHM berjaya mendapat tajaan bernilai RM28 ribu daripada 19 agensi dalam bentuk wang tunai dan juga barangan,” katanya.
Turut berlangsung, peluncuran UTHM Festival of Idea (FOI) bagi menyokong idea daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mempamerkan idea-idea inovasi untuk diketengahkan, sekali gus sebagai usaha membangunkan negara bersama TVET menjelang 2030.
