Remaja hari ini tidak rosak. Mereka cuma sedang hilang arah; ditelan tekanan, dibebani harapan, dikelirukan dengan perbandingan dan paling parah mereka ditinggalkan oleh sistem yang sepatutnya melindungi mereka. Saban hari, statistik menzahirkan angka yang semakin memburuk. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS, 2022) menunjukkan hampir 60,000 remaja Malaysia berumur 13 hingga 17 tahun aktif menggunakan dadah malah lebih 100,000 telah mencubanya. Dari jumlah tersebut Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tahun 2024 melaporkan 65% penagih di negara ini terdiri daripada belia. Isu buli siber, ketagihan gajet, kecelaruan identiti, budaya hedonisme, eksploitasi seksual seperti sugaring dan love for money serta gangguan emosi bukan lagi isu terpencil tetapi menjadi sebahagian dari rutin sosial kita. Dalam semua isu ini, satu soalan paling pedih untuk didengar dan pahit untuk ditelah ialah “Siapa yang sedang gagal sebenarnya?”
Kita pantas bertanya, “Kenapa mereka jadi begini?” Tetapi kita jarang bertanya, “Apa yang mereka tidak dapat daripada kita?” Dalam dunia yang semakin bingit dengan isu semasa khususnya kos sara hidup, anak-anak muda ini tidak perlu lebih banyak suara. Mereka hanya memerlukan ruang atau seseorang yang boleh mendengar. Mereka tidak perlukan lebih banyak arahan tetapi perlukan bimbingan dan kasih sayang dari golongan dewasa yang pernah muda. Cuma isunya pendekatan yang digunakan untuk mendekati remaja hari ini sangat berbeza dengan pendekatan zaman 80an atau 90an dahulu. Namun intinya tetap sama, mereka memerlukan bimbingan dan sentuhan kasih sayang.
Fasa remaja bukan tempoh biasa. Ia medan mencari identiti. Ketika inilah mereka paling mudah keliru, terpengaruh dan tersasar. Justeru, di mana kita ketika mereka buntu? Kita mahu mereka berjaya, tetapi tidak mengajar mereka mengurus kecewa. Kita marah bila mereka memberontak, tetapi kita tidak pernah beri ruang untuk mereka bersuara. Kita kata “jangan ikut kawan”, tetapi kita tidak hadir sebagai sahabat pertama mereka. Kita mahu mereka jadi diri sendiri namun sering kita menjadikan objek lain sebagai perbandingan.
Hari ini, tekanan emosi tidak semestinya datang dari kemiskinan atau masalah keluarga. Ramai remaja dari keluarga yang ‘cukup’ turut tertekan. Ramai juga dari keluarga yang ‘lengkap’ namun terabai. Mereka diburu kehendak akademik, dikelilingi budaya membandingkan diri, dan dihukum bila tidak memenuhi jangkaan. Mereka penat. Tapi mereka diam. Bukan kerana tidak mahu bercakap, tetapi kerana tidak tahu kepada siapa harus meluah.
Kesihatan mental dalam kalangan remaja bukan lagi isu kecil. Ia telah menjadi barah senyap yang tidak disedari. Ramai terperangkap dalam tekanan yang tidak kelihatan, dihimpit jangkaan tinggi, dibebani perbandingan, dan dihukum apabila cuba bersuara. Mereka takut dilabel lemah dan manja, malah lebih menyakitkan mereka takut dianggap gagal oleh keluarga sendiri. Ramai ibu bapa dan pendidik pula masih memendam rasa, sama ada kerana tidak tahu, tidak bersedia atau tidak tahu untuk mengurus emosi secara terbuka. Dalam keadaan ini, pusat kaunseling dan program kesihatan mental memang penting, tetapi ia hanya sebahagian daripada jalan sokongan. Paling utama ialah membina ekosistem asas yang sebenar. Keluarga mesti menjadi pelindung emosi yang pertama iaitu tempat anak mencari damai, bukan tekanan. Guru pula harus menjadi penyambung harapan, yang memahami bahawa setiap murid membawa beban yang tidak selalu tertulis di buku. Di peringkat universiti, pensyarah tidak boleh sekadar menjadi penyampai ilmu, tetapi juga pemudah cara kepada kesejahteraan hidup pelajar dengan menyemai empati dalam kuliah, membuka ruang perbincangan sihat, dan menyedari bahawa tekanan akademik yang tidak dikawal boleh mencetuskan keretakan jiwa. Dalam konteks yang lebih luas, masyarakat perlu menjadi ruang yang menyambut, bukan menghakimi di mana remaja boleh jatuh, berehat, memulihkan diri dan bangkit semula, tanpa perlu berasa malu untuk menjadi manusia biasa.
Dalam pada itu, aspek jasmani turut memainkan peranan besar. Badan yang sihat membina emosi yang stabil. Namun hari ini, berapa ramai anak kita yang aktif bergerak? Taman permainan makin hilang, dan masa harian mereka makin sempit dalam ruang empat segi skrin telefon. Mereka duduk berjam-jam, menatap media sosial, menonton “highlight kehidupan orang lain” dan membandingkan diri sendiri yang terasa biasa-biasa. Di situlah lahirnya rasa tidak cukup, tidak layak, tidak berharga dan dari situlah bermulanya kejatuhan atau krisis dalam diri secara perlahan-lahan.
Benar, pelbagai inisiatif telah digerakkan. Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan 2020–2025 sedang dilaksanakan, Talian HEAL 15555 tersedia 24 jam, dan organisasi seperti MIASA serta Befrienders terus menyediakan sokongan emosi dan psikososial. Sekolah mula memperkenalkan modul kesejahteraan malah institusi pengajian tinggi turut memperkasa pusat kaunseling, dan kempen kesedaran mental semakin meluas. Namun persoalan utamanya masih kekal; adakah semua ini benar-benar sampai kepada mereka yang paling memerlukan? Sudah pasti penyelesaian sebenar bukan terletak hanya pada polisi atau program, tetapi pada hubungan manusiawi yang ikhlas, dekat dan penuh empati.
Kita perlu berani berubah. Hentikan naratif “zaman kita dulu lebih baik”. Ini zaman mereka, dan cabaran tidak sama. Tugas kita bukan untuk mengulangi sejarah, tetapi mencipta harapan baharu. Anak muda tidak perlukan kesempurnaan dari kita. Mereka hanya perlukan kita hadir dalam hidup mereka dengan mata yang empati, telinga tanpa menghakimi, dan tangan yang bersedia menyambut mereka walau dalam keadaan mereka paling rapuh.
Mereka bukan lemah. Mereka hanya perlukan bimbingan yang hidup, dekat, dan benar-benar memahami. Bukan hukuman yang menjauhkan. Jika kita terus memilih untuk diam, mereka bukan sekadar akan hilang arah tetapi mungkin akan hilang sepenuhnya daripada masa depan kita. Pada ketika itu, kegagalan bukan lagi milik mereka, tetapi kegagalan kita sebagai masyarakat dewasa. Maka, hari ini bukan masanya untuk menuding jari, tetapi detik untuk kita semua bangkit bersama mendengar lebih banyak, menghukum lebih sedikit, dan bertindak dengan rasa tanggungjawab dan kasih yang tulus.

Prof. Madya Dr. Khairunesa Isa
Jabatan Sains Sosial
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 17), 25 Julai 2025: Remaja hari ini bukan rosak tetapi hilang arah

2. Utusan (utusan.com.my), 25 Julai 2025: Remaja hari ini bukan rosak tetapi hilang arah
3. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 27 Julai 2025: Remaja tidak gagal tapi kita terleka
4. Harian Metro (muka surat: 14), 2 Ogos 2025: MUNGKIN KITA YANG TERLEKA

5. MyMetro (hmetro.com.my), 2 Ogos 2025: Mungkin kita yang terleka
https://www.hmetro.com.my/rencana/2025/08/1247459/mungkin-kita-yang-terleka
