Oleh Suriayati Baharom
PAGOH, 23 Julai 2025 – Program diploma yang ditawarkan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus menjadi pilihan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains, kejuruteraan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Buktinya UTHM telah menerima kemasukan 773 pelajar baharu pada hari pertama pendaftaran yang berlangsung pada 20 Julai lalu.
Daripada jumlah tersebut, 456 orang terdiri daripada pelajar lelaki dan 317 lagi adalah pelajar perempuan.
Walau bagaimanapun, jumlah tersebut dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa sehingga tamat tempoh pendaftaran.
Kemasukan pelajar baharu ke program pengajian Diploma bagi sesi akademik 2025/2026 meningkat sebanyak 7% berbanding tahun lalu dan ini menunjukkan trend positif terhadap minat dan keperluan berterusan bidang TVET di Malaysia.
Pendaftaran yang dibuat secara fizikal itu melibatkan tujuh kursus yang ditawarkan oleh UTHM iaitu Diploma Kejuruteraan Awam (155), Diploma Kejuruteraan Elektrik (160), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (140), Diploma Teknologi Maklumat (156), Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia (37), Diploma Sains Gunaan (59) dan Diploma Teknologi Animasi (66).
Kesemua pelajar baharu itu akan mengikuti sesi perkuliahan semester khas sesi 2025/2026 bermula 25 Julai ini secara bersemuka bertempat UTHM Kampus Cawangan Pagoh.
Terdahulu, mereka perlu mengikuti Minggu Haluan Siswa yang dijadual berlangsung selama lima hari bermula 20 sehingga 24 Julai ini.
Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali turut menyambut kedatangan para pelajar baharu dan ibu bapa ketika hari pertama pendaftaran berlangsung.
Turut serta menyantuni mereka, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq dan Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Dr. Afandi Ahmad.
Prof. Mas Fawzi mewakili universiti mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada kesemua pelajar baharu tersebut.
Beliau berharap mereka dapat menggunakan peluang melanjutkan pengajian di UTHM ini dengan sebaik mungkin sekali gus dapat menjadi kebanggaan kedua ibu bapa serta universiti.
“Belajarlah bersungguh-sungguh dan sentiasa tingkatkan keupayaan diri, dekatkan diri kepada Tuhan dengan solat pada waktunya dan berdoalah untuk diri sendiri dan orang lain.
“Walaupun sibuk dengan urusan pembelajaran, bergaullah dengan kawan-kawan dan masyarakat sekeliling serta amalkan sikap hormat menghormati bagi membentuk sebuah hubungan yang harmoni,” pesan beliau.
Untuk rekod, program diploma UTHM yang melibatkan tempoh masa pengajian selama dua tahun sembilan bulan itu mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) serta mempunyai kebolehpasaran graduan yang tinggi.
Pelajar program diploma di UTHM mempunyai peluang yang tinggi untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah di universiti ini kerana CGPA yang diperlukan sekurangnya 2.5 sahaja dan tidak perlu bersaing dengan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), matrikulasi mahupun politeknik melalui permohonan Unit Pusat Universiti (UPU).
Selain itu, lebih 10 bantuan kebajikan telah disediakan oleh pihak universiti bagi membantu para pelajar yang memerlukan agar mereka dapat meneruskan pengajian dengan lancar.
UTHM akan terus berusaha menawarkan program-program TVET yang berorientasi industri dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi sekali gus dapat membantu memenuhi agenda nasional.




Berita ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 25 Julai 2025: UTHM terima 773 pelajar baharu
