Oleh Dr. Muhamad Helmy Sabtu, Dr. Nurul Aimi Razali, Dr. Ahmad Faris Naqiyuddin Mohd

BATU PAHAT – Penyelidik Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menghasilkan sebanyak 210 unit produk penggalak tanaman organik bagi membantu komuniti setempat menjana pendapatan.

Produk yang dinamakan ‘BootaniBoost’ merupakan produk penggalak tumbuhan yang dihasilkan secara semula jadi dengan menggunakan teknologi efektif mikroorganisma bertujuan untuk membantu para petani dan pekebun kecil untuk menggandakan hasil tanaman serta meningkatkan daya tahan tanaman dari penyakit.

Produk tersebut mampu mempercepatkan pertumbuhan tanaman sebanyak 30 peratus berbanding biasa serta sesuai digunakan untuk semua jenis tanaman termasuklah sayur-sayuran, buah-buahan, herba atau tanaman hiasan.

Produk itu merupakan salah satu inisiatif yang dirangka oleh PPUK di bawah Program Pembangunan Komuniti Agro Usahawan Desa atau ‘Agropreneur Madani’ bersama kampung angkat UTHM.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid  Abdul Razzaq yang juga Menjalankan Fungsi Naib Canselor UTHM hadir merasmikan program Agropreneur Madani yang diadakan pada 29 Jun 2025.

Terdahulu, program tersebut telah diadakan melibatkan tiga fasa iaitu bermula pada 30 Mei, diikuti fasa kedua pada 5 Jun serta fasa ketiga pada 28 dan 29 Jun 2025.

Seramai 26 penduduk komuniti telah terpilih untuk mengikuti program yang antara lainnya bertujuan untuk memberikan latihan penghasilan produk inovasi kepada para peserta.

Mereka bukan sahaja diajar menghasilkan dan membungkus produk, malah turut diberikan latihan berkaitan kaedah jualan dan pemasaran yang efektif.

Sementara itu, Ketua Komuniti Madani Parit Jelutong, Zaili  Saiman menzahirkan rasa terima kasih kepada UTHM kerana penganjuran program berkenaan telah memberikan manfaat yang besar kepada penduduk setempat.

“Selain galakan terhadap inovasi, para peserta juga dilatih untuk menjadi usahawan menerusi penjualan produk BootaniBoost serta produk tanaman sayur-sayuran organik.

“Secara tidak langsung, program ini telah membantu menjana pendapatan penduduk kampung,” katanya.

Program Agropreneur Madani turut mendapat kerjasama daripada Ahli Parlimen Sri Gading, YB Aminolhuda Hassan, Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parit Jelutong, Sekolah Kebangsaan Jelotong serta Pejabat Pertanian Daerah Batu Pahat.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. The Sun Daily (thesun.my), 4 July 2025: UTHM researchers develop organic plant booster via Agropreneur Madani

https://thesun.my/malaysia-news/uthm-researchers-develop-organic-plant-booster-via-agropreneur-madani-KB14408604

 

2. Astro Awani (astroawani.com), 5 Julai 2025: Penyelidik UTHM hasilkan produk penggalak tanaman menerusi Agropreneur MADANI

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/penyelidik-uthm-hasilkan-produk-penggalak-tanaman-menerusi-agropreneur-madani-527998