Oleh Norhaslini Abd Alim
BATU PAHAT – Pameran Gambus anjuran Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersempena Gema Budaya Festival 2025 yang diadakan pada 27 hingga 29 Jun lalu kembali mengangkat warisan muzik tradisional Melayu di pentas umum.
Pameran dengan kerjasama Pejabat Daerah Batu Pahat, Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Tourism Batu Pahat bertempat di Astaka Shahbandar yang dilaksanakan secara terbuka bersama komuniti Batu Pahat itu turut melibatkan kehadiran para pempengaruh dan wakil media.
Pengunjung berpeluang melihat sendiri koleksi pelbagai jenis gambus eksklusif serta mengetahui sejarah, evolusi dan keunikan alat muzik tradisional bertali ini yang berasal dari Timur Tengah.
Menurut Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Dr. Mohd Nizam Attan selaku Pakar Rujuk Bidang dan penggiat aktif seni gambus, alat muzik itu bukan sahaja menjadi ikon budaya dalam seni warisan Melayu, malah mempunyai aura tersendiri yang cukup sinonim dengan budaya Johor khususnya dalam persembahan zapin, ghazal, samrah dan hamdolok.
Melalui pameran itu, masyarakat diajak untuk lebih menghargai nilai sejarah dan keindahan seni pembuatan serta persembahan gambus yang semakin jarang diketengahkan.
Selaras dengan objektif utama pelaksanaan Projek Research and Innovation in Culture and Heritage of Johor (RICHER), PTTA dan Projek Edu-Tourism @UTHM, yang menggabungkan budaya dan teknologi bagi mempromosikan kebudayaan warisan Johor serta menyokong inisiatif digital TVET di UTHM, 3D Virtual Tour @ Galeri Gambus Johor telah dilancarkan.
Pelancaran pameran maya itu telah diadakan pada 27 Jun 2025 bersempena dengan Majlis Pelancaran Gema Budaya Festival 2025 dan Yok Ronda Batu Pahat yang disempurnakan oleh Mohammad Faizzuddin Azmi, Penolong Pegawai Daerah Batu Pahat selaku wakil rasmi Pegawai Daerah Batu Pahat.
Hadir sama, Ketua Pustakawan PTTA, Zaharah Abd Samad dan Dr. Mohd Nizam Attan.
3D Virtual Tour @ Galeri Gambus Johor merupakan lawatan maya interaktif yang membolehkan pengunjung menjelajah Galeri Gambus Johor yang terletak di PTTA secara visual 360°, seolah-olah berada di lokasi sebenar melalui pautan https://ptta.uthm.edu.my/gambus-ptta.html.
Melalui lawatan ini, pengguna boleh meneroka keseluruh seksyen galeri, membaca informasi tentang koleksi gambus, menonton video eksklusif dan mengakses Aplikasi AR-Galeri PTTA yang menggunakan teknologi realiti terimbuh (Augmented Reality – AR) berkaitan alat muzik tradisional ini hanya melalui peranti digital.
Untuk rekod, projek pembangunan Aplikasi AR-Galeri PTTA telah direalisasikan dengan kerjasama kumpulan penyelidik daripada Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UTHM yang merupakan SME dalam teknologi animasi seperti AR, Realiti Maya (Virtual Reality – VR), Mixed Reality (MR) dan Penerokaan Maya (Virtual Tour).
Sementara itu, Zaharah berkata dengan adanya elemen interaktif dan aplikasi digital seperti lawatan maya 360° serta teknologi AR, pameran itu bukan sahaja berupaya memelihara khazanah warisan muzik tradisional, malah berjaya menarik minat generasi muda untuk mendekati seni budaya dalam bentuk yang lebih segar dan immersive.
”Inisiatif ini diharap dapat menjadi pencetus kepada usaha berterusan dalam mendokumentasi, memelihara dan mempromosikan seni warisan tempatan melalui pendekatan inovatif dan inklusif,” katanya.





Berita ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Aktif (malaysiaaktif.my), 28 Jun 2025: Pempengaruh Media Sosial Digerakkan Promosi Pelancongan Batu Pahat
Pempengaruh Media Sosial Digerakkan Promosi Pelancongan Batu Pahat
