Oleh Profesor Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri
Batu Pahat, 12 Julai – Bagi mendedahkan masyarakat dengan ilmu kewangan seawal usia muda, Malaysian Financial Planning Council (MFPC) dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program ‘My Money & Me’ melibatkan penyertaan hampir 200 peserta, termasuk mahasiswa.
Berslogankan ‘Urus Wang Dengan Bijak, Jamin Hidup Tenang,’ program yang diadakan di The Summit Batu Pahat pada 12 Julai 2025 itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya pengurusan dan pendidikan kewangan yang inklusif dan holistik.
Penganjurannya turut disokong oleh pelbagai agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Federation of Investment Managers Malaysia (FIMM) serta Private Pension Administrator Malaysia (PPA).
Berslogankan ‘Urus Wang Dengan Bijak, Jamin Hidup Tenang,’ majlis perasmian yang diadakan pada hari yang sama telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, UTHM, Prof. Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri.
Beliau dalam ucapannya menekankan bahawa pengurusan kewangan harus dimulakan seawal mungkin dan menjadi budaya hidup, bukan sekadar ilmu tambahan.
Menurut beliau, kewangan peribadi bukan sekadar kira-kira ringkas antara pendapatan dan perbelanjaan, ia merangkumi ilmu, disiplin dan perancangan jangka panjang yang mampu memberi ketenangan hidup.
“Mahasiswa dan generasi muda perlu didedahkan dengan realiti kewangan masa kini kerana pendidikan pengurusan kewangan memberi keupayaan untuk membuat keputusan yang bijak dalam urusan harian hinggalah pelaburan masa depan,” katanya.
Dalam dunia yang semakin mencabar, yang mana kos sara hidup meningkat dan gaya hidup materialistik menekan jiwa, keupayaan mengurus wang menjadi penentu utama kestabilan dan ketenangan hidup seseorang.
Melalui taklimat dan ceramah interaktif yang dikendalikan oleh pakar-pakar dari pelbagai institusi kewangan, peserta berpeluang memahami konsep asas seperti pengurusan tunai, belanjawan bulanan, kawalan hutang, serta strategi menabung secara konsisten.
Sesi tersebut turut menyentuh aspek pelaburan bijak, perlindungan takaful dan insurans, perancangan cukai, pengurusan harta pusaka, serta penyediaan untuk persaraan.
Menariknya, isu lain seperti pelaburan berisiko tinggi, penipuan kewangan dan perancangan persaraan dihuraikan dalam bentuk simulasi, kuiz interaktif dan perbincangan kes sebenar.
Antara tarikan utama program itu ialah penyertaan langsung dari pelbagai agensi kewangan yang biasanya berurusan secara formal dan berprosedur tinggi.
Kehadiran wakil-wakil dari Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan agensi lain membuktikan komitmen kerajaan dan sektor berkaitan dalam memperluas capaian pendidikan kewangan ke semua lapisan masyarakat.
Melalui sesi perkongsian dan penerangan, peserta dapat berinteraksi terus dengan pegawai profesional mengenai skim-skim kewangan yang ditawarkan kerajaan dan sektor swasta, seperti Skim Persaraan Swasta (PRS), Pelaburan Unit Amanah dan penyelesaian takaful yang komprehensif.
Penceramah turut menekankan kepentingan berhati-hati dalam membuat keputusan kewangan pada era digital kerana penipuan kewangan melalui platform dalam talian semakin berleluasa, dan masyarakat perlu diberi pengetahuan untuk melindungi aset mereka.
Sementara itu, Qurratu Fatimah, 22, pelajar tahun tiga jurusan Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, UTHM pula berkata program itu turut membuka matanya terhadap pentingnya simpanan dan pelaburan jangka panjang.
“Sebelum ini saya anggap menyimpan wang hanya untuk kecemasan, tetapi selepas sesi bersama PPA dan FIMM, saya sedar betapa pentingnya membuat simpanan untuk persaraan dan melabur dengan berhemah untuk masa depan yang lebih terjamin,” katanya.
Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, UTHM memainkan peranan penting bukan sahaja dalam penyediaan ilmu akademik, malah memperlengkapkan pelajarnya dengan kemahiran kehidupan sebenar.
Kolaborasi bersama MFPC membuktikan komitmen UTHM dalam mendidik mahasiswa menjadi warganegara yang bukan sahaja berilmu, tetapi bijak membuat keputusan kewangan.



