Tragedi kemalangan yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini telah menggemparkan negara sekali gus menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia. Kejadian menyayat hati itu berlaku di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, apabila sebuah bas yang membawa 44 mahasiswa bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna. Tragedi itu bukan sahaja meragut nyawa muda yang penuh harapan, malah menjadi cerminan kepada kelemahan sistem keselamatan jalan raya negara yang perlu ditangani secara menyeluruh.

Sebelum itu, negara juga dikejutkan dengan satu lagi kemalangan ngeri yang berlaku pada 13 Mei 2025. Dalam kejadian di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, sebuah trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang membawa anggota pulang ke kem selepas menyelesaikan tugas bertembung dengan sebuah lori muatan batu. Nahas itu mengorbankan sembilan anggota FRU dan pemandu lori, menjadikan jumlah korban seramai 10 orang. Tragedi ini mengingatkan kita bahawa keselamatan jalan raya bukan sekadar isu awam, tetapi juga melibatkan keselamatan anggota keselamatan negara yang berkhidmat demi rakyat.

Statistik kemalangan jalan raya di Malaysia terus menunjukkan angka yang membimbangkan. Sehingga Oktober 2024, lebih 530,000 kes kemalangan telah direkodkan di seluruh negara, dengan lebih 5,300 daripadanya melibatkan kematian. Daripada jumlah itu, 68 peratus kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, namun kemalangan membabitkan bas dan kenderaan berat seperti lori turut menyumbang kepada angka korban yang tinggi. Angka-angka ini bukan sekadar statistik, tetapi mewakili ribuan keluarga yang kehilangan insan tersayang akibat kecuaian, kelalaian dan kelemahan sistem yang sepatutnya melindungi mereka.

Dalam menghadapi realiti ini, tanggungjawab untuk memperbaiki keadaan tidak boleh diletakkan hanya pada pengguna, penyedia perkhidmatan dan pihak penguat kuasa semata-mata. Sebaliknya, pendekatan menyeluruh yang melibatkan pelbagai pihak perlu digerakkan. Pengguna jalan raya perlu lebih berdisiplin dan bertanggungjawab. Penumpang bas harus peka terhadap keadaan kenderaan dan pemandu, serta tidak teragak-agak untuk melaporkan sebarang kelakuan mencurigakan. Penggunaan tali pinggang keledar perlu dijadikan amalan, bukan sekadar pilihan. Pemandu pula harus memastikan mereka berada dalam keadaan fizikal dan mental yang baik sebelum memulakan perjalanan.

Penyedia perkhidmatan pengangkutan awam pula perlu mengutamakan keselamatan melebihi keuntungan. Penyelenggaraan kenderaan secara berkala, latihan pemandu dan penggunaan teknologi pemantauan seperti GPS dan kamera dalam bas harus dijadikan standard industri. Jadual perjalanan juga perlu disusun dengan mengambil kira waktu rehat pemandu agar mereka tidak memandu dalam keadaan letih. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya perlu mempertingkatkan pemantauan dan tindakan secara konsisten. Pemeriksaan mengejut terhadap bas dan lori, pengesanan pemandu yang melanggar had masa memandu, serta tindakan tegas terhadap syarikat yang cuai perlu dilaksanakan secara konsisten.

Namun begitu, terdapat beberapa pihak lain yang juga memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan jalan raya. Pihak yang bertanggungjawab terhadap pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya perlu memastikan reka bentuk jalan memenuhi piawaian keselamatan serta diselenggara secara berkala. Jalan yang sempit, tidak rata, berselekoh tajam atau kurang pencahayaan boleh menjadi perangkap maut. Oleh itu, jalan-jalan utama perlu dibina mengikut piawaian keselamatan yang tinggi, lengkap dengan lorong kecemasan, penghadang jalan, papan tanda amaran dan sistem saliran yang baik. Penyelenggaraan berkala seperti menampal lubang jalan dan memastikan lampu jalan berfungsi juga tidak boleh diabaikan.

Satu lagi aspek yang sering dipandang ringan ialah penggunaan cat jalan. Garisan jalan yang jelas dan reflektif amat penting sebagai panduan visual kepada pemandu, terutamanya pada waktu malam atau ketika hujan. Cat jalan yang kabur atau sudah hilang boleh menyebabkan kekeliruan dan meningkatkan risiko pelanggaran. Oleh itu, penggunaan cat berkualiti tinggi yang tahan lama dan mudah dilihat perlu dipastikan, dan penyelenggaraannya tidak boleh diabaikan. Di kawasan berselekoh tajam atau cerun curam, cat jalan yang jelas boleh menjadi perbezaan antara nyawa dan maut. Pihak berkuasa juga boleh mempertimbangkan penggunaan teknologi terkini seperti cat termoplastik atau sistem pencahayaan LED di jalan raya bagi meningkatkan tahap keselamatan.

Institusi pendidikan juga memainkan peranan penting dalam mendidik generasi muda tentang keselamatan jalan raya. Pendidikan keselamatan harus dimulakan sejak di bangku sekolah melalui kurikulum, program kesedaran, dan latihan simulasi. Pelajar perlu dididik tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya, penggunaan alat keselamatan seperti topi keledar dan tali pinggang keledar, serta etika sebagai pengguna jalan.

Media massa dan media sosial pula mempunyai pengaruh besar dalam membentuk sikap masyarakat. Kempen keselamatan jalan raya yang kreatif dan menyentuh emosi boleh memberi kesan mendalam kepada penonton. Pempengaruh dan selebriti juga boleh memainkan peranan dengan menyampaikan mesej keselamatan secara santai tetapi berkesan, terutamanya kepada golongan muda.

Sektor korporat dan industri, terutamanya yang terlibat dalam logistik dan pengangkutan, perlu mengamalkan budaya keselamatan dalam operasi harian mereka. Mereka boleh melaksanakan dasar dalaman yang ketat berkaitan keselamatan pemandu, menyediakan latihan berkala dan melabur dalam teknologi keselamatan kenderaan. Selain itu, syarikat juga boleh menaja kempen kesedaran keselamatan jalan raya sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat. Komuniti setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula boleh menjadi ejen perubahan di peringkat akar umbi. Mereka boleh menganjurkan program kesedaran, bengkel keselamatan dan aktiviti gotong-royong membaiki infrastruktur asas seperti papan tanda dan pencahayaan di kawasan kampung. Suara komuniti juga penting dalam menekan pihak berkuasa agar mengambil tindakan terhadap kawasan berisiko tinggi.

Akhir sekali, penggubal dasar dan ahli parlimen perlu memastikan undang-undang dan peraturan berkaitan keselamatan jalan raya sentiasa dikemas kini dan relevan. Mereka juga bertanggungjawab memperjuangkan peruntukan bajet yang mencukupi untuk penyelenggaraan jalan, pendidikan keselamatan, dan penguatkuasaan undang-undang.

Tragedi yang menimpa pelajar UPSI dan anggota FRU adalah peringatan bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kolektif. Ia bukan hanya isu teknikal atau penguatkuasaan, tetapi mencerminkan nilai dan budaya masyarakat terhadap nyawa manusia. Dengan penglibatan aktif semua pihak, dari pengguna biasa hingga ke pembuat dasar, kita mampu membina sistem jalan raya yang lebih selamat, berkesan dan berperikemanusiaan. Setiap nyawa yang terselamat adalah hasil daripada tindakan yang kita ambil hari ini.

 

 

Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Saifulnizan Jamain

Ketua Jabatan

Jabatan Kejuruteraan Mekanikal

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Inv. Mahmod Abd Hakim Mohamad

Pensyarah Kanan

Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 3 Julai 2025: Korban jalan raya: Masyarakat perlu ambil iktibar, laksana tanggungjawab bersama 

Korban jalan raya: Masyarakat perlu ambil iktibar, laksana tanggungjawab bersama