Dalam kehidupan seorang Muslim, arah kiblat memainkan peranan penting dalam pelaksanaan ibadah solat. Dalam sebuah hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda: Dari Surah al-Baqarah ayat 149, Maksudnya:

“Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan solat) hadapkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (Kaabah). Sesungguhnya perintah berqiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Allah (Tuhanmu). Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.”

Hadis ini menegaskan kewajiban umat Islam untuk menghadap kiblat dengan tepat dalam menunaikan solat. Maka, usaha untuk mencari arah kiblat dengan cara yang sahih dan diyakini, seperti melalui fenomena Istiwa A’dzam, adalah bertepatan dengan tuntutan syarak. Ia bukan hanya berdasarkan logik sains dan teknologi, tetapi juga selari dengan tuntutan agama agar ibadah solat dilakukan dengan penuh ketelitian dan kekhusyukan. Justeru, mengenal dan memanfaatkan fenomena ini merupakan satu bentuk penghayatan terhadap sunnah dan kecintaan kepada kesempurnaan ibadah yang dituntut dalam Islam.

Namun, tidak semua umat Islam mempunyai akses kepada alat penentu arah kiblat yang tepat. Di sinilah datangnya keistimewaan fenomena Istiwa A’dzam, satu kejadian astronomi yang membolehkan penentuan arah kiblat secara semula jadi, tepat dan mudah. Istiwa A’dzam atau juga dikenali sebagai Rashdul Qibla Global, berlaku apabila matahari berada tepat di atas Kaabah di Mekah. Fenomena ini berlaku dua kali setahun, iaitu sekitar 27 Mei dan 15 Julai, pada waktu tengah hari di Mekah. Jika tahun terkini adalah tahun lompat, maka fenomena ini akan berlaku pada 28 Mei dan 16 Julai. Ketika ini, bayang-bayang objek tegak di mana-mana lokasi di dunia akan menunjuk terus ke arah Kaabah, menjadikannya waktu terbaik untuk menyemak arah kiblat.

Fenomena ini telah dikenali sejak zaman pertengahan oleh ahli astronomi Islam seperti Nasir al-Din al-Tusi dan al-Jaghmini, yang mencatatkan peristiwa ini dalam karya mereka. Walaupun mereka tidak dapat menetapkan tarikh yang tetap kerana penggunaan kalendar lunar, mereka memahami konsep matahari berada di zenith Kaabah sebagai penentu arah kiblat. Menurut kajian dalam jurnal Al-Hisab: Journal of Islamic Astronomy, kaedah tradisional seperti penggunaan bayang-bayang matahari telah lama digunakan dalam penentuan arah kiblat, termasuk konsep tongkat istiwa. Kajian ini juga membandingkan ketepatan kaedah tradisional dengan teknologi moden seperti GPS dan kompas digital, dan mendapati bahawa fenomena Istiwa A’dzam memberikan ketepatan yang tinggi tanpa gangguan elektromagnetik.

Ramai pengguna bergantung kepada aplikasi telefon pintar untuk menentukan arah kiblat. Namun, aplikasi ini sering terdedah kepada ralat magnetik akibat gangguan dari peralatan elektronik, menyebabkan arah kiblat yang ditunjukkan boleh tersasar sehingga 26 darjah, bersamaan dengan 4680 kilometer dari Kaabah. Ini boleh menjejaskan kesempurnaan ibadah solat. Untuk memanfaatkan fenomena ini, langkah-langkah berikut boleh diikuti:

  • Sediakan objek tegak seperti batang kayu yang diletakkan secara menegak.
  • Pada waktu fenomena berlaku (27 Mei jam 5:18 petang atau 15 Julai jam 5:27 petang, waktu Malaysia), perhatikan bayang-bayang yang terhasil.
  • Tandakan arah bayang-bayang tersebut, maka itulah arah kiblat yang tepat.
  • Boleh juga menggunakan bayang tingkap rumah jika ia lurus dan tegak.

Kaedah ini tidak memerlukan sebarang alat elektronik dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, di mana sahaja. Fenomena Istiwa A’dzam bukan sahaja membantu umat Islam menentukan arah kiblat dengan tepat, malah ia juga dapat menghubungkan ilmu astronomi dengan ibadah dalam Islam. Ia juga menggalakkan umat Islam untuk menghargai ciptaan dan susunan alam semesta.

Oleh itu, peristiwa Istiwa A’dzam adalah satu anugerah semula jadi yang wajar dimanfaatkan oleh umat Islam. Ia membuktikan bahawa ilmu falak bukan sekadar teori, tetapi mempunyai aplikasi praktikal dalam kehidupan seharian. Dengan hanya memerhati bayang-bayang, kita dapat memastikan arah kiblat yang tepat dan merupakan satu langkah kecil yang membawa kepada kesempurnaan ibadah.

 

Prof. Madya Sr Dr. Mustaffa Anjang Ahmad

Ketua Pusat Geomatik Gunaan dan Pencegahan Bencana

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Prof. Madya Sr Dr. Nazirah Mohamad Abdullah

Ahli Bersekutu Pusat Geomatik Gunaan dan Pencegahan Bencana

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 15 Julai 2025: Peristiwa A’dzam: Petunjuk arah kiblat dari langit pada 16 Julai 2025 

Peristiwa A’dzam: Petunjuk arah kiblat dari langit pada 16 Julai 2025

 

2. Bernama (bernama.com), 12 Ogos 2025: Istiwa A’dzam: Petunjuk Arah Kiblat Dari Langit 

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2455354