Bermula 1 Julai 2025, sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang baharu mula dikuatkuasakan di seluruh negara. Kadar cukai perkhidmatan naik daripada 6% kepada 8%, manakala senarai perkhidmatan yang dikenakan cukai kini diperluas, termasuk sewaan hartanah, penjagaan kesihatan dan pendidikan swasta, serta langganan digital berbayar seperti video streaming dan storan awan.
Selain itu, beberapa barangan mewah seperti jam tangan eksklusif, basikal lumba berprestasi tinggi, makanan import seperti king crab dan salmon, turut dikenakan cukai tambahan. Langkah ini dikatakan selari dengan prinsip “cukai berdasarkan kemampuan,” bermakna yang mampu berbelanja lebih, akan menyumbang lebih kepada hasil negara.
Kerajaan menjangkakan hasil tambahan sebanyak RM4 bilion setahun daripada pelaksanaan SST versi baharu ini. Duit tersebut dijangka disalurkan kepada pelbagai inisiatif pembangunan termasuk pembiayaan subsidi bersasar, naik taraf sekolah dan hospital awam, serta penyediaan kemudahan infrastruktur luar bandar.
Namun begitu, kesan langsung kepada rakyat mula menjadi topik perbualan hangat. Ramai mula tertanya-tanya, adakah ini satu langkah pembangunan yang progresif, atau hanya beban tambahan dalam situasi kos sara hidup yang semakin mencabar?
Bagi golongan B40 dan M40, mereka yang menyewa rumah, menggunakan perkhidmatan kesihatan swasta atau melanggan platform digital pastinya akan merasai kesan segera. Dalam banyak kes, kenaikan 2% mungkin nampak kecil, tapi bila digabungkan dengan pelbagai kos lain, ia tetap memberi tekanan pada bajet bulanan.
Golongan peniaga pula berdepan cabaran tersendiri. Kos sewaan premis yang dikenakan cukai akan menjejaskan kos operasi. Peniaga kecil dan sederhana (PKS) mungkin terpaksa menaikkan harga jualan untuk menampung perbelanjaan tambahan. Akibatnya, pengguna juga akan menanggung kos itu secara tidak langsung.
Kesan paling ketara dijangka berlaku di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor Bahru, kawasan yang mencatat penggunaan tinggi terhadap perkhidmatan digital dan swasta. Di kawasan luar bandar, kesannya mungkin lebih sederhana kerana keperluan harian masih tertumpu kepada barangan asas yang tidak dikenakan cukai.
Kerajaan menegaskan bahawa cukai ini adalah langkah ke arah pemulihan fiskal negara dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Namun, rakyat berharap agar hasil cukai ini benar-benar disalurkan kepada perkara yang memberi manfaat secara langsung, bukannya terperap dalam sistem yang tidak telus.
Apa yang rakyat boleh lakukan sekarang adalah menyesuaikan gaya hidup. Semak semula langganan, utamakan pembelian yang perlu, dan cari perkhidmatan yang lebih berbaloi. Bagi peniaga, mungkin inilah masa untuk mengoptimumkan operasi, mengurangkan pembaziran atau menambah nilai perkhidmatan.
Hakikatnya, menaikkan cukai bukan perkara popular. Tetapi dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, langkah ini mungkin satu keperluan. Persoalannya – adakah kerajaan benar-benar bersedia memastikan rakyat tidak menanggung beban seorang diri?
Jika hasil cukai ini digunakan dengan cekap dan adil, maka ia boleh menjadi asas kepada pembangunan negara. Jika tidak, ia hanya akan menambah beban yang sedia ada.

Dr. Zurina Samsudin
Pensyarah Kanan
Johor Business School,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 25), 22 Julai 2025: Cukai baharu beban atau pembangunan?

2. Utusan (utusan.com.my), 22 Julai 2025: Cukai baharu beban atau pembangunan?
