BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima sumbangan zakat korporat berjumlah RM960 ribu daripada tiga institusi korporat utama pada 22 Jun 2025 lalu bersempena Majlis Perasmian Penutup Karnival Mahabbah Komuniti Madani 2025 bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM.

Sumbangan terbesar disalurkan oleh Lembaga Tabung Haji sebanyak RM800 ribu, disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Haji Mustakim Mohamad merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji.

Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad menyumbang sebanyak RM130 ribu, diserahkan oleh Pengurus Wilayah Selatan, Hairunizam Sa’ad.

Manakala Bank Rakyat pula menyerahkan sumbangan sebanyak RM30 ribu, diwakili oleh Pengurus Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad Cawangan Batu Pahat, Hamdan Daud.

Ketiga-tiga sumbangan tersebut telah diterima secara simbolik oleh Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UTHM, sambil disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Haji Mohd. Fared Haji Mohd Khalid selaku tetamu kehormat bagi majlis penutup karnival.

Sumbangan tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk keperluan kebajikan dan pembangunan warga universiti selaras dengan komitmen UTHM dalam memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi sebagai agen pembangunan masyarakat.

Untuk rekod, Karnival Mahabbah Komuniti Madani 2025 merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Pusat Islam, UTHM yang mengetengahkan pelbagai pengisian berteraskan nilai keagamaan, perpaduan dan kesejahteraan komuniti.