Oleh Suriayati Baharom

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih anugerah “”Reka Bentuk Playbot Terbaik” Pertandingan ROBOCON 2025 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung pada 17 hingga 19 Jun lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Manakala juara keseluruhan pertandingan diraih oleh pasukan UTM A dan naib juara diraih pasukan UTM B dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta tempat ketiga pula oleh Universiti Sains Malaysia (USM).

Pertandingan ROBOCON 2025 yang menghimpunkan 26 pasukan dari pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara itu memberi ruang kepada mahasiswa mempamerkan kehebatan teknologi robotik dan kepintaran dalam bidang kejuruteraan mekatronik serta kecerdasan buatan.

Pertandingan itu menjadi platform praktikal ke arah melahirkan tenaga kerja masa depan dalam bidang robotik dan automasi, selaras dengan Pelan Robotik Kebangsaan yang menekankan pentingnya latihan aplikasi sebenar untuk modal insan.

Bertemakan “Robot Basketball”dengan slogan Team Effort, Ultimate Success, ROBOCON 2025 membantu mengetengahkan elemen strategi, koordinasi dan kepintaran robot secara masa nyata.

Majlis penyampaian hadiah pertandingan disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi ( Governan dan Pembangunan ) Ahmad Rizal Adnan.

Ahmad Rizal dalam ucapannya berkata pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sejak 2002 itu bukan sekadar pertandingan robotik tetapi merupakan platform strategik memperkasakan budaya inovasi dan teknologi dalam kalangan mahasiswa.

“Pertandingan ini turut mengasah kemahiran kejuruteraan, mempamerkan kreativiti, reka bentuk serta kebitaraan teknikal dalam penciptaan robot,” katanya.

Hadir sama,Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq yang juga Menjalankan Fungsi Naib Canselor UTHM; Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar Jabatan Pendidikan Tinggi, Hirman Awang @ Semail dan Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Johor, Azman Hashim.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, turut hadir menyempurnakan perasmian pembukaan ROBOCON 2025 yang diadakan pada 17 Jun 2025.