MUAR – Bagi membantu komuniti Muar, Johor menghasilkan baja kompos daripada sisa dapur, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Masyarakat Living Lab – Bandar Muar telah melaksanakan program khidmat komuniti bertemakan “Inisiatif baja organik untuk kelestarian tanaman.”
Program yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sulaiman Ninam Shah pada 24 Mei 2025 lalu merupakan sebahagian daripada inisiatif Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang menggalakkan pembelajaran berasaskan perkhidmatan kepada masyarakat.
Selain membantu komuniti menghasilkan baja kompos sendiri daripada sisa dapur dan bahan organik, ia juga sebagai usaha mengurangkan kos pertanian dan sisa buangan.
Program tersebut diisi dengan beberapa aktiviti seperti sesi perkongsian ilmu oleh pensyarah Panel Kimia Industri UTHM, Dr. Nurun Najwa Ruslan dan ChM. Dr. Mohammad Arif Budiman Pauzan, bengkel dan demonstrasi penyediaan baja kompos kendalian pelajar-pelajar tahun dua Sarjana Muda Sains Kimia Industri, edaran pamplet panduan untuk rujukan komuniti serta perkongsian hasil uji kaji penggunaan baja kompos ke atas tanaman.
Program itu turut memberi pendedahan asas tentang sains di sebalik proses kompos, termasuklah bagaimana bahan organik seperti sisa makanan dan daun kering mengalami proses pereputan oleh mikroorganisma, bagaimana unsur-unsur kimia seperti nitrogen, fosforus dan kalium memainkan peranan dalam pertumbuhan pokok dan penerangan tentang reaksi penguraian dan pembentukan humus, serta fungsi sulfur semula jadi dari bahan seperti kulit bawang.
Sementara itu, pensyarah juga turut memberi perkongsian ringkas tentang konsep kimia di sebalik perubahan warna, bau dan suhu kompos serta bagaimana ia menjadi indikator kepada keberkesanan proses penguraian.
Turut serta, Ahli Majlis Zon 8, Majlis Perbandaran Muar, Noordin Tamjis, bersama SWCorp Muar dan Jabatan Pertanian Daerah Muar, Prof. Madya Dr. Hamizah Mohd Safuan, Ketua Pusat Masyarakat Living Lab Bandar Muar dan Ketua Jabatan (Jaringan Masyarakat dan Pemindahan Ilmu), Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat, Dr. Nurul Nadia Adnan.
Dengan pelaksanaan program itu, komuniti setempat berpeluang meningkatkan kemahiran menghasilkan baja kompos daripada sisa makanan dan bahan organik bagi menyokong amalan persekitaran yang lestari.
Selain itu, program itu bukan sahaja memberi pengalaman kepada pelajar dalam menyampaikan ilmu secara praktikal, tetapi juga mampu memperkukuh lagi hubungan universiti dengan masyarakat.




