Bumi Mekah bukan sekadar medan ritual ibadah. Ia adalah tanah sejarah pembentukan iman, keazaman dan jati diri umat Islam yang pertama. Di sinilah risalah Islam mula disampaikan secara terbuka. Di sinilah juga para sahabat mula diuji dengan tekanan, penyeksaan dan pemulauan hanya kerana mereka berkata: “Tuhan kami adalah Allah.” Namun, daripada bumi ini juga lahir generasi pejuang yang bukan hanya membina keimanan diri, bahkan turut memacu peradaban dunia.
Antara nama besar yang menjadi tonggak kepada kelangsungan dakwah Rasulullah SAW ialah Sa’ad bin Mu’az RA – seorang tokoh yang walaupun berasal dari Madinah (Yathrib), namun hubungannya dengan Mekah dan perjuangan Nabi SAW menjadikan beliau antara simbol keutuhan iman yang melangkaui sempadan tempat dan zaman.
Dari Mina ke Madinah: Benih Awal Tamadun Islam
Rasulullah SAW memanfaatkan musim Haji di Mina sebagai medan berdakwah kepada kabilah-kabilah Arab. Di saat orang datang untuk menguruskan ibadah haji warisan Nabi Ibrahim AS, Baginda datang dengan misi lebih besar: menyelamatkan manusia dari kegelapan syirik kepada cahaya tauhid, dari kemunduran jahilliyah kepada kebangkitan umat manusia dengan risalah.
Di sinilah terjalin dua perjanjian penting yang menjadi asas pembentukan negara Islam:
- Perjanjian Aqabah Pertama (621M) – Bai’ah keimanan oleh 12 orang dari Madinah.
- Perjanjian Aqabah Kedua (622M) – Bai’ah politik dan ketenteraan oleh 75 orang, termasuk Sa’ad bin Mu’az yang akhirnya memeluk Islam hasil usaha Mus’ab bin Umair RA.
Daripada dua perjanjian inilah terbentuknya paksi sokongan kepada Rasulullah SAW untuk berhijrah ke Madinah dan membina masyarakat Islam yang pertama. Dan bumi mina menyaksikan terjadinya Perjanjian Aqadah 2, peristiwa penting yang menjadi titik perubahan daripada dakwah individu dan kelompok kepada dakwah yang dilakukan secara langsung oleh negara, dari dakwah setempat ke dakwah global.
Sa’ad bin Mu’az: Pemimpin Yang Mengikat Jiwanya pada Wahyu
Nama Sa’ad bin Mu’az terpahat sebagai antara tokoh penting dalam lipatan sejarah Islam. Beliau bukan sekadar memeluk Islam secara peribadi, bahkan mengislamkan seluruh kabilahnya (Aus) kerana kewibawaannya sebagai ketua suku. Ini bukan pencapaian kecil. Ia membuktikan bahawa iman itu bukan hanya urusan hati, tetapi juga keupayaan memimpin masyarakat ke arah kebenaran. Dalam Perang Badar, beliau berdiri teguh di sisi Nabi SAW, menyatakan sokongan penuh:
“Wahai Rasulullah, kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana Bani Israil berkata kepada Nabi Musa: ‘Pergilah kamu dan Tuhan kamu, kami duduk di sini sahaja.’ Bahkan kami akan berjuang bersamamu dari kanan, kiri, depan dan belakangmu.”
Keberanian dan kesetiaan ini lahir dari jati diri Muslim yang tidak rapuh – walau dunia berubah, walau medan berubah, tetapi kompas hidupnya tetap pada Allah dan Rasul.
Cabaran Zaman dan Kekuatan Jati Diri
Kita hidup pada zaman yang berbeza – zaman digital, globalisasi, ideologi terbuka dan cabaran moral yang bersimpang-siur. Namun, prinsip yang membentuk jati diri seorang Muslim tidak pernah berubah: akidah yang tulus, amal yang bersih, dan kesetiaan kepada kebenaran.
Sa’ad bin Mu’az tidak dilahirkan dalam suasana Islam. Namun apabila mengenal wahyu, beliau tidak lagi menoleh ke belakang. Dunia jahiliah yang penuh kebesaran suku dan adat ditinggalkan, digantikan dengan peradaban baru yang berpaksi kepada al-Qur’an dan kenabian. Ini adalah teladan besar buat kita: bahawa jati diri Muslim sejati tidak ditentukan oleh zaman, tetapi oleh kejujuran kepada kebenaran.
Daripada Mekah ke Madinah: Mesej untuk Generasi Hari Ini
Perjalanan dari Mina ke Madinah, daripada bai’ah ke negara, adalah kisah membina umat dan tamadun. Dan setiap umat yang ingin bangkit, wajib meneladani prinsip yang sama:
- Mesti ada individu seperti Sa’ad bin Mu’az pemimpin yang berani berubah.
- Mesti ada keberanian untuk menyatu, seperti Aus dan Khazraj yang dahulunya bermusuhan.
- Mesti ada kepimpinan yang amanah, seperti Rasulullah SAW yang memimpin dengan wahyu, bukan nafsu.
Dalam dunia yang mencabar hari ini – dengan Islamofobia, kemerosotan moral dan kekeliruan identiti – umat Islam memerlukan jiwa seperti Sa’ad bin Mu’az: yang tahu apa itu iman, dan tahu bagaimana mempertahankannya dengan kesungguhan dan pengorbanan.
Sa’ad bin Mu’az meninggal dunia hanya dua tahun selepas Hijrah, namun sumbangannya menjangkau zaman. Ketika beliau wafat, langit bergoncang dan para malaikat turun menyambut rohnya. Rasulullah SAW bersabda:
“Arasy Allah bergoncang kerana kematian Sa’ad bin Mu’az.” (Riwayat al-Bukhari)
Begitulah hebatnya seorang lelaki yang teguh dengan imannya, walau hidupnya singkat. Bumi Mekah menjadi saksi permulaan, Madinah menjadi saksi pelaksanaan – dan sejarah menjadi saksi bahawa jati diri seorang Muslim yang sebenar akan terus menjulang umat, bukan menjunamkannya.
“Islam tidak pernah lemah – yang lemah ialah umat yang lupa siapa mereka, dari mana mereka datang, dan ke mana mereka sepatutnya menuju.”

Dr. Mohd Shafiq Sahimi
Pensyarah Kanan
Jabatan Pengajian Islam (Kampus Pagoh)
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Ts. Inv. Mahmod Abd Hakim Mohamad
Pensyarah Kanan
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal
Pusat Pengajian Diploma
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tuan Kamaruzzaman Othman
Ketua Cawangan Penguatkuasaan Farmasi
Jabatan Kesihatan Negeri Perlis
