Oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Halim Irwan Ibrahim, Amirul Faiz Abdul Latif
Sebagai sebuah tempat penginapan pelajar yang turut berperanan dalam membangun jati diri dan sahsiah mahasiswa, Pusat Perumahan Pelajar (PRP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui kolej-kolej kediaman mengambil langkah strategik dengan memperkenalkan inisiatif Inkubator Keusahawanan.
Inisiatif itu berperanan sebagai platform pembangunan potensi keusahawanan dalam kalangan penghuni khususnya penghuni kolej kediaman dalam kampus.
Inkubator Keusahawanan bakal menjadi ruang sokongan dan bimbingan untuk mahasiswa mengasah kemahiran berniaga, memulakan perniagaan kecil-kecilan, serta memahami asas pengurusan perniagaan secara sistematik dan beretika.
Menurut Pengarah PRP, Prof. Ts. Dr. Mohd Halim Irwan Ibrahim, antara pendekatan dalam Inkubator Keusahawanan itu termasuklah penyediaan fasiliti perniagaan yang kondusif, akses luas dan mudah terhadap pelanggan, serta peluang untuk menerima latihan dan geran yang bersesuaian.
“Usaha ini sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menekankan pembangunan graduan holistik dan berdaya saing, selaras dengan agenda Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 20212025.
“Ia juga turut menyokong usaha universiti dalam melahirkan graduan bercirikan job creator dan bukan sekadar job seeker, sekali gus menjadi platform berkesan dalam melahirkan graduan yang bersedia dengan kerjaya pada masa hadapan,” katanya.
Majlis peluncuran Inkubator Keusahawanan ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad pada 17 Jun 2025 bertempat di Dewan Aktiviti Kolej Kediaman Tun Fatimah, UTHM.
Turut berlangsung, pelantikan sembilan Felo Kehormat Kolej Kediaman Luar Kampus yang berperanan sebagai penghubung antara pelajar luar kampus dan pihak kolej kediaman bagi membantu memastikan keperluan serta kebajikan pelajar terbela dan mendapat perhatian yang sewajarnya.
Selain itu, Felo Kehormat juga bertanggungjawab dalam mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif dan sokongan yang berterusan kepada pelajar yang berada di luar kampus khususnya dari aspek kebajikan dan keselamatan.
Tambah Prof. Halim Irwan, peluncuran inkubator keusahawanan dan pelantikan Felo Kehormat adalah sejajar dengan perancangan Anjakan PRP 2023-2025 yang dijangkakan bakal mewujudkan ekosistem Kolej Kediaman yang lebih harmoni, berkesan dan berpusatkan pelajar.
“Inisiatif Inkubator ini dipercayai mampu melahirkan golongan mahasiswa yang bukan sahaja boleh menjana pendapatan sendiri, malah mempunyai kemahiran komunikasi dan pengurusan yang berkesan.
“Manakala lantikan Felo Kehormat pula dilihat mampu mewujudkan persekitaran penginapan luar kampus yang selamat dan harmoni,” ujarnya.
Hadir sama ke majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, yang juga Menjalankan Fungsi Naib Canselor UTHM dan Ketua-ketua pusat tanggungjawab di bawah Kluster Hal Ehwal Pelajar dan Almni HEPA.


