
Oleh Dr. Nurul Nadia Adnan
Muar, 18 Jun 2025 – Bagi meningkatkan minat murid Orang Asli terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan ”Program Saintis Muda Asli: Membina Generasi Berdaya Inovasi” melibatkan murid Sekolah Kebangsaan Bukit Kepong
Program dengan kerjasama Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC) yang diadakan bersempena FAST STEM Festival 2025 itu turut mendapat tajaan daripada Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia.
Para peserta dibimbing oleh pelajar tahun satu daripada kursus Creativity and Innovation, sambil dipantau oleh pengarah program, Dr. Nurul Nadia Adnan bersama Dr. Fahmiruddin Esa dan Dr. Jamalina Jamaluddin.
Sepanjang program, pelbagai aktiviti hands-on dan demonstrasi telah dilaksanakan bagi meningkatkan kefahaman asas sains dan teknologi serta memupuk semangat ingin tahu dalam kalangan murid.
Aktiviti yang disusun secara interaktif dengan pendekatan yang mesra telah memberi pengalaman pembelajaran yang positif dan menggalakkan penglibatan aktif murid di dalam program ini.
Menurut Dr. Nurul Nadia Adnan usaha itu merupakan sebahagian daripada inisiatif komuniti akademik UTHM untuk mendekatkan pendidikan STEM kepada masyarakat luar bandar, khususnya dalam kalangan anak-anak orang asli yang memiliki potensi besar untuk diketengahkan.P”endedahan awal terhadap STEM amat penting untuk membina asas pemikiran kritikal dan kreatif.
”Kami percaya, dengan galakan dan sokongan berterusan, anak-anak dari komuniti orang asli juga mampu mencapai kecemerlangan dalam bidang ini,” ujar beliau.
Program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada murid, malah membuka ruang pembelajaran berharga buat para pelajar UTHM dalam mempraktikkan kemahiran insaniah, komunikasi serta kepimpinan dalam konteks sebenar masyarakat.