Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 baru sahaja diumumkan. Daripada sejumlah 355,933 pelajar SPM yang layak mendapat sijil, 14,179 pelajar telah berjaya memperoleh keputusan A (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran. Tentunya ibu bapa dan juga pelajar lepasan SPM tercari-cari institusi yang terbaik untuk menyambung pengajian. Terdapat banyak institusi yang boleh dipilih oleh pelajar lepasan SPM 2024 untuk meneruskan pengajian mereka. Bagi pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang pula, sudah pasti ada dalam kalangan mereka yang memilih untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Jepun merupakan salah satu destinasi yang sering menjadi pilihan pelajar lepasan SPM untuk meneruskan pengajian ke luar negara. Kelebihan Jepun sebagai sebuah negara maju, khususnya dalam bidang teknologi dan kejuruteraan menjadi penyebab utama destinasi ini menjadi pilihan pelajar untuk menyambung pengajian. Selain itu, hubungan baik sejak sekian lama antara Malaysia dan Jepun, menjadikan laluan untuk menyambung pengajian di Jepun lebih mudah. Hubungan antara Malaysia dan Jepun menjadi semakin erat apabila Dasar Pandang ke Timur diperkenalkan pada tahun 1982. Melalui Dasar Pandang ke Timur ini, ramai pelajar Malaysia berpeluang meneruskan pengajian di universiti-universiti terbaik Jepun.

Bagi pelajar yang meletakkan hasrat untuk menyambung pengajian di Jepun, beberapa perkara perlu diambil peduli sebelum membuat pilihan. Perkara-perkara utama seperti kelayakan akademik, sihat tubuh badan dan sumber kewangan yang mencukupi (sama ada sumber peribadi atau tajaan, seperti biasiswa atau pinjaman boleh ubah), merupakan persediaan asas yang perlu dipertimbangkan oleh setiap pelajar dan juga ibu bapa. Perkara-perkara asas seperti ini, biasanya adalah dalam pengetahuan ibu bapa dan pelajar. Jika perkara-perkara asas ini tidak berjaya melepasi tahap minimum, kebiasaannya pelajar tidak akan mampu untuk meneruskan pengajian di sana. Selain daripada perkara-perkara asas ini, ada beberapa perkara lain yang tidak kurang pentingnya untuk dipertimbangkan sebelum pelajar memilih negara matahari terbit ini sebagai destinasi untuk menyambung pengajian.

Persediaan fizikal

Bagi pelajar yang menjadikan negara Jepun sebagai destinasi untuk menyambung pengajian, persediaan dari segi fizikal dan emosi adalah amat penting. Dari segi fizikal, selain daripada sihat tubuh badan, keperluan fizikal lain juga perlu diambil peduli. Persediaan fizikal yang tidak kurang pentingnya adalah dari segi keperluan peribadi, seperti pakaian, peralatan elektrik mahupun ubat-ubatan. Jepun merupakan negara yang mengalami iklim empat musim, iaitu musim panas, musim bunga, musim luruh dan juga musim sejuk. Oleh itu, pakaian yang digunakan juga adalah berbeza mengikut kepada keadaan musim dan cuaca. Pelajar perlu menyediakan pakaian yang sesuai dengan secukupnya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, agar lebih selesa dan tidak terbeban dengan keadaan cuaca ketika berada di sana. Hal seperti ini boleh menyebabkan peruntukan kewangan yang lebih besar daripada kebiasaan di Malaysia.

Selain itu, peralatan elektrik peribadi seperti telefon bimbit, komputer, pengecas dan palam penyesuai (adaptor) sebaiknya disediakan dan dibawa bersama keperluan peribadi yang lain. Hal ini demikian kerana, keadaan barangan elektrik di negara ini, terutamanya plag yang menyambungkan kuasa elektrik adalah tidak sama dengan negara Jepun. Tambahan lagi, cara pengendalian barangan elektrik juga biasanya adalah berbeza mengikut keadaan sesebuah negara. Pelajar juga disarankan agar dapat memastikan bahawa barangan elektrik yang dibawa boleh digunakan di Jepun. Voltan bagi barangan elektrik di Jepun adalah rendah, iaitu 100V sahaja berbanding 240V di Malaysia. Walaupun berbeza dari segi voltan, kebiasaanya barangan elektrik seperti ini boleh digunakan dengan menggunakan palam penyesuai antarabangsa (international adapter plug). Barangan seperti ini bukan lagi kehendak, tetapi merupakan barangan keperluan yang mesti ada dan sebaiknya disediakan sebelum ke Jepun. Jika tidak, tumpuan pelajar mungkin akan terganggu. Malahan, jika barangan ini dibeli di negara Jepun, harganya mungkin jauh lebih mahal. Pelajar juga akan memerlukan lebih masa untuk memahami cara pengendaliannya, disebabkan buku manual di Jepun kebanyakannya adalah dalam bahasa dan tulisan Jepun.

Keperluan fizikal yang juga begitu penting dan perlu disediakan adalah dari segi ubat-ubat peribadi. Walaupun seseorang pelajar itu berjaya melepasi tapisan kesihatan untuk belajar di Jepun, namun terdapat juga sebilangan pelajar yang bergantung dengan ubat-ubatan tertentu. Pelajar yang seperti ini perlu memastikan bekalan ubat-ubatan yang diperlukan disediakana dan dibawa secukupnya. Jika, ubat-ubatan itu perlu diambil secara berterusan, pastikan pelajar mendapatkan surat perakuan daripada pihak hospital atau pegawai perubatan di Malaysia tentang maklumat ubat-ubatan yang diperlukan serta priskripsi ubat-ubatan tersebut. Surat perakuan ini dapat memudahkan pelajar apabila perlu berurusan dengan pihak kesihatan di Jepun seperti hospital atau farmasi. Sekiranya keperluan seperti ini disediakan dengan sebaiknya sebelum menjejakkan kaki di Jepun, pelajar akan berasa lebih tenang dan akan lebih fokus dengan tujuan utama berada di sana nanti. Kerisauan berada di tempat baharu akan dapat dikurangkan.

Pada dasarnya, pelajar yang akan belajar di Jepun adalah diwajibkan untuk menyertai Insurans Kesihatan Nasional Jepun. Semasa berada di Jepun, sekiranya pelajar perlu mendapatkan rawatan, pihak insurans hanya akan membayar sebanyak 70 peratus sahaja daripada jumlah bil rawatan yang dikenakan, manakala 30 peratus lagi adalah tanggungjawab individu. Maklumat seperti ini biasanya akan dikongsikan kepada pelajar, sebelum pelajar menjejakkan kaki ke Jepun. Malahan, bagi pelajar yang menyambung pengajian di Jepun dengan tajaan badan-badan tertentu, seperti JPA atau MARA, perkara seperti ini adalah dalam pengetahuan pihak penaja.

Persediaan emosi

Selain daripada persediaan dari segi fizikal, pelajar juga perlu kuat dari segi ketahanan mental dan emosi dalam menangani sebarang masalah. Apabila berada di sesebuah tempat yang baharu, perasaan “terasing” pastinya akan dirasa, terutamanya diawal fasa keberadaan di sana. Pada fasa sebegini, keadaan emosi sangat mudah tercalar dan mudah terganggu. Di peringkat awal keberadaan, pelajar mungkin akan terasa seperti bersendirian, khususnya pelajar yang masuk ke institusi yang tiada pelajar Malaysia yang lain. Keadaan akan lebih kritikal sekiranya di istitusi tersebut tidak ramai pelajar asing. Dalam situasi sebegini, pelajar perlu bersikap terbuka, namun tidaklah sehingga melupakan jati diri sebagai anak Malaysia. Bersikap terbuka, bersederhana dalam banyak perkara, merendah diri dan bersopan santun adalah asas untuk mudah diterima dalam masyarakat Jepun. Sikap sebegini secara tidak langsung dapat mengawal emosi daripada perasaan “terasing”.

Seterusnya, pelajar perlu mengambil tahu perkara-perkara asas tentang negara Jepun. Hal ini demikian kerana negara Jepun mempunyai latar belakang dan budaya yang berbeza daripada Malaysia. Jepun merupakan sebuah negara yang mempunyai etnik tunggal, iaitu hampir semua penduduk Jepun adalah daripada bangsa yang sama, menuturkan bahasa yang sama, mengamalkan budaya dan juga kepercayaan yang hampir sama. Oleh itu, sikap orang Jepun tidak begitu terbuka sebagaimana orang Malaysia yang sudah biasa hidup dalam kepelbagaian etnik dan budaya. Jepun merupakan satu masyarakat yang sangat mementingkan kesopanan dan sentiasa merendah diri. Mereka juga sangat menghargai budaya masyarakat mereka. Dengan memahami perkara asas tentang Jepun dan masyarakat mereka, pelajar akan lebih bersedia dari segi emosi apabila mereka berada di Jepun nanti.

Bagi pelajar yang memilih Jepun sebagai destinasi untuk menyambung pengajian, adalah disarankan agar bersedia untuk hidup secara berdikari dan melakukan banyak perkara secara bersendirian, terutamanya di awal pengajian mereka. Pada peringkat ini, pelajar tidak boleh terlalu bergantung dengan sesiapa. Bukan mudah untuk membuatkan orang Jepun dapat menerima “orang luar” yang mempunyai latar belakang budaya, bangsa, bahasa dan agama yang berbeza daripada masyarakat mereka. Adakalanya, pelajar mungkin akan terasa seperti dipinggirkan, disebabkan oleh jurang perbezaan yang ketara antara orang Malaysia dengan orang Jepun. Salah satu cara untuk mengurangkan jurang ini ialah dengan memahami dan mempelajari sedikit sebanyak tentang cara hidup dan budaya mereka sebelum berada di Jepun. Dapatkan maklumat sebanyak mungkin tentang apa yang disukai oleh orang Jepun dan juga perkara yang sebaliknya. Dengan memahami budaya dan cara hidup orang Jepun, hubungan baik dengan masyarakat setempat akan lebih mudah terjalin. Sekiranya hubungan dengan masyarakat setempat lebih baik, kesihatan emosi juga akan lebih terjamin.

Bagi pelajar-pelajar yang beragama Islam pula, perlu diketahui bahawa negara Jepun bukanlah sebuah negara Islam. Berdasarkan cara hidup orang Jepun, agama yang paling ramai penganut adalah agama Shinto dan Buddah, iaitu dianggarkan sekitar 84-96 peratus. Bilangan masjid dan surau juga adalah sangat terhad. Makanan yang berstatus halal juga sukar diperoleh. Walaupun kebelakangan ini, jumlah bilangan masjid dan surau semakin meningkat, namun bagi pelajar yang memilih Jepun sebagai destinasi untuk menyambung pengajian, perlu bersedia dengan keadaan ini. Pelajar juga boleh mencari maklumat mengenai bilangan pelajar asing di unversiti yang akan dipilih, terutamanya bilangan pelajar yang beragama Islam. Pelajar juga boleh merujuk fasiliti yang disediakan di universiti yang akan dipilih. Ada juga universiti di Jepun yang menyediakan surau untuk pelajar yang beragama Islam. Selain itu, ada juga kafeteria di universiti Jepun yang turut menyediakan makanan yang berstatus halal atau “Muslim Friendly”. Penjualan makanan yang mempunyai status halal juga semakin meningkat, terutamanya bagi kawasan yang mempunyai ramai penduduk yang beragama Islam, dan boleh juga dibeli secara dalam talian. Namun, harus diingat bahawa dalam urusan beragama, masyarakat Jepun biasanya akan mengelak daripada seseorang yang terlalu ekstrem dalam beragama serta tidak menghormati penganut agama-agama lain.

Selain itu, untuk menjamin kestabilan emosi, pelajar boleh juga membina hubungan sosial dengan pelajar-pelajar lain yang akan sama-sama belajar di Jepun atau yang telah berada di Jepun. Pelajar perlu mengambil tahu dan membina hubungan dengan komuniti seperti ini. Melalui cara ini pelajar boleh bertanyakan tentang pengalaman-pengalaman yang telah mereka lalui atau pun berkongsi persoalan yang terlintas di fikiran dalam komuniti tersebut. Dengan yang demikian, pelajar boleh mengurangkan kebimbangan sebelum sampai ke negara Jepun. Malahan, sekiranya berlaku sebarang permasalahan yang tidak dapat diselesaikan, sekurang-kurangnya pelajar mempunyai tempat untuk berkongsi. Hubungan sosial yang baik dengan komuniti sebegini juga dapat membantu pelajar dalam apa-apa permalahan apabila berada di Jepun nanti.

Kemahiran berbahasa Jepun

Kemahiran berbahasa Jepun adalah sangat penting dalam memastikan seseorang pelajar dapat mengharungi setiap cabaran dalam pembelajaran dan juga dalam kehidupan seharian di Jepun. Umum mengetahui bahawa bahasa Jepun boleh dianggap sebagai bahasa tunggal dalam komunikasi di Jepun. 99 peratus bahasa ibunda orang Jepun adalah bahasa Jepun itu sendiri. Bahasa Jepun digunakan dalam semua urusan di Jepun, termasuk urusan rasmi dan juga urusan tidak rasmi, seperti komunikasi seharian dengan rakan, pensyarah dan juga penduduk setempat. Kemahiran bahasa Jepun ini perlu dikuasai, walaupun kursus yang akan dipilih nanti dijalankan di dalam bahasa Inggeris. Dengan menguasai bahasa Jepun, pelajar dapat berkomunikasi dengan mudah dengan pelajar Jepun yang lain, dengan pensyarah serta penduduk setempat. Keadaan seperti ini dapat mengurangkan jurang perbezaan yang ada.

Sekiranya pelajar memilih Jepun sebagai destinasi untuk menyambung pangajian, pelajar perlu menguasi bahasa Jepun dan lulus ujian bahasa Jepun yang dikenali sebagai JLPT (Japanese Language Proficiency Test). Ujian ini perlu diambil di Malaysia sebelum pelajar memasuki institusi pengajian di Jepun serta perlu lulus sekurang-kurangnya sehingga tahap N2 (Tahap B2, CEFR). Ujian JLPT ini mengandungi lima tahap, dengan tahap N5 merupakan tahap yang terendah. Selain menguasai bahasa Jepun dari segi pertuturan, pelajar juga perlu menguasai jenis-jenis tulisan Jepun yang terdiri daripada tiga jenis, iaitu tulisan Hiragana, Katakana dan Kanji. Kursus kemahiran bahasa Jepun ini biasanya sudah terkandung dalam silibus pusat-pusat persediaan pengajian ke Jepun yang ada di Malaysia seperti di Ambang Asuhan Jepun (AAJ) INTEC Education College, Pusat Bahasa Teikyo, dan sebagainya.

Kesimpulannya, sebelum pelajar memilih Jepun sebagai destinasi untuk menyambung pengajian, banyak perkara yang pelajar perlu diambil peduli. Persediaan sebelum menyambung pengajian ke Jepun perlu dirancang dengan baik dan menyeluruh merangkumi pelbagai aspek, seperti akademik, kewangan, logistik, bahasa, kekuatan fizikal dan juga kekuatan emosi. Semasa menghadiri kursus-kursus persediaan sebelum melanjutkan pengajian ke Jepun, pelajar akan didedahkan dengan kemahiran-kemahiran asas, terutamanya dalam kemahiran bahasa Jepun. Namun, perkara-perkara dari segi persediaan fizikal dan emosi juga perlu diambil peduli, sebelum memilih Jepun sebagai destinasi menyambung pengajian. Dengan mengetahui sedikit perkara-perkara asas seperti ini, pelajar dan ibu bapa dapat menimbangkan keputusan untuk menyambung pengajian ke Jepun dengan sewajarnya. Persediaan yang rapi dapat membantu pelajar menghadapi setiap dugaan dan cabaran sepanjang pengajian mereka di Jepun.

 

 

Siti Hajar Bidin

Guru Bahasa

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Hiyama Junko @ Noor Siti Abdullah

Guru Bahasa

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)