Sistem pengangkutan awam negara terus mengalami transformasi menyeluruh selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan, kemampanan, daya cipta, hormat, ihsan dan keyakinan. Hasrat ini dizahirkan menerusi Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 6 yang berlangsung pada 4 Jun 2025 di Menara Prasarana, Petaling Jaya, dengan tema “Pengangkutan Untuk Rakyat: Mengimbangi Antara Kemampuan Rakyat, Kualiti dan Kemampanan Pengangkutan Awam.”

Forum berimpak tinggi ini telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan turut disertai oleh Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke. Forum itu menggabungkan pemikiran pelbagai pihak termasuk ahli akademik, pemain industri serta agensi kerajaan dalam membincangkan pelan hala tuju sistem pengangkutan negara.

Anthony Loke dalam pembentangannya menegaskan bahawa sistem pengangkutan awam yang dibangunkan perlu berlandaskan ciri-ciri Malaysia MADANI iaitu membina sebuah sistem mobiliti rakyat yang bukan sahaja efisien tetapi juga mencerminkan nilai kemanusiaan, profesionalisme dan keadilan sosial.

Beliau menggariskan bahawa agensi pengangkutan awam seperti Prasarana dan SPAD perlu diterajui oleh profesional, bukan ahli politik, bagi menjamin urus tadbir yang telus, objektif dan bebas daripada pengaruh kepentingan tertentu. Perubahan pendekatan ini amat penting dalam memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem pengangkutan awam yang selama ini terpalit dengan isu ketidakefisienan dan kebocoran.

Kemampanan menjadi teras utama apabila negara kini aktif memperluaskan penggunaan Bas Elektrik (Bas EV) sebagai pengganti bas diesel, sejajar dengan matlamat mengurangkan pelepasan karbon. Pada masa sama, dasar “Road to Rail” diperkenalkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada lori dan menyokong pemindahan barangan melalui sistem rel yang lebih bersih dan jimat tenaga.

Antara inisiatif paling ketara ialah projek ASEAN Express, yang menghubungkan Malaysia, Thailand, Laos dan China melalui rangkaian rel kargo. Penghantaran kontena dari Selangor ke Chongqing kini hanya mengambil masa sembilan hari, berbanding dua minggu melalui laluan laut, dengan penjimatan kos logistik sehingga 20 peratus.

Kesejahteraan pula diterjemah melalui pelaksanaan kemudahan first-and-last mile seperti Bas Laluan Khas (Bus Lane), perkhidmatan Demand-Responsive Transit (DRT) di kawasan berpenduduk rendah serta pelaksanaan semula pas perjalanan tanpa had My50 yang memberi peluang rakyat menikmati tambang pengangkutan awam dengan kos rendah, hanya RM50 sebulan.

Daya cipta turut diberi keutamaan apabila sistem pengangkutan awam negara sedang beralih ke arah pendigitalan penuh sistem pembayaran. Usaha seperti pelaksanaan Open Payment System, pembayaran tanpa tunai, serta pendaftaran digital untuk My50 memberi pengguna lebih fleksibiliti dan mempercepatkan urusan harian.

Dari aspek hormat, langkah seperti penyediaan coach khas wanita dalam tren-tren bandar telah dilaksanakan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna wanita. Usaha ini selari dengan prinsip menghormati ruang dan hak pengguna yang berbeza latar belakang.

Bagi memperkukuh keyakinan, kerajaan memberi tumpuan kepada penambahbaikan teknikal dan kecekapan operasi. Antaranya, pengenalan indikator prestasi seperti Mean Kilometers Between Failure (MKBF) digunakan untuk menilai kebolehpercayaan tren. Syarikat-syarikat pengangkutan juga kini disarankan untuk memperkasakan pasukan teknikal dalaman agar lebih kompeten dan responsif terhadap isu operasi.

Nilai ihsan pula dizahirkan melalui penyediaan kemudahan mesra OKU serta pelaksanaan inisiatif OKU SMILE Pass, yang membolehkan golongan Orang Kurang Upaya berdaftar menikmati tambang percuma bagi semua perkhidmatan tren dan bas awam. Reka bentuk fasiliti kini juga menepati piawaian universal design dengan kemudahan akses, visual dan sokongan audio.

Perdana Menteri dalam ucapannya menekankan bahawa projek mega seperti MRT2 dan MRT3 perlu dikaji semula dari segi kos dan spesifikasi bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat. Beliau menekankan perlunya pendekatan yang lebih menyeluruh dan strategik, yang merangkumi sistem rel, bas, laut dan udara.

Beliau juga mengingatkan bahawa pembangunan pengangkutan tidak harus didorong semata-mata oleh nilai komersial, tetapi perlu memastikan nilai sosial dan kesaksamaan kepada semua golongan rakyat. Sebagai contoh, beliau membangkitkan isu infrastruktur pengangkutan di Tawau, Sabah yang belum memadai walaupun berpotensi menjadi pusat pelancongan utama.

Perdana Menteri turut memuji transformasi dalaman Prasarana di bawah kepimpinan Encik Azharuddin Mat Sah yang telah memperkenalkan budaya kerja lebih telus dan profesional.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah pula menyeru kerajaan untuk memperkenalkan Polisi Pengangkutan Nasional yang lebih menyeluruh, serta mengiktiraf universiti sebagai rakan strategik dalam membangunkan penyelidikan dan inovasi berkaitan mobiliti rakyat.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencadangkan agar Malaysia memanfaatkan teknologi pengangkutan udara altitud rendah menggunakan dron, terutamanya untuk penghantaran barang dan perkhidmatan ke kawasan pedalaman dan pulau-pulau yang sukar diakses. Cadangan ini mendapat perhatian Perdana Menteri yang menyatakan bahawa inisiatif serupa sedang diusahakan oleh POS Malaysia.

Ahli Parlimen Seputeh, YB Teresa Kok turut menggesa agar kerajaan memberi perhatian kepada ketidaksepadanan antara pembangunan perbandaran oleh PBT dan perancangan pengangkutan. Beliau mencadangkan peranan Urban Transport Authority diperluaskan untuk menyelaras rancangan pembangunan transit-oriented, termasuk memanfaatkan aset Prasarana bagi membangunkan perumahan mampu milik di sekitar stesen LRT/MRT.

Dorongan Strategik: Cadangan Tan Sri Idris Jala ke arah mobiliti berkesan

Dalam sesi forum tersebut, Tan Sri Idris Jala mengemukakan pandangan bahawa pendekatan ‘pull factor’ seperti subsidi tambang murah atau promosi kesedaran sahaja tidak mencukupi untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Beliau menegaskan bahawa pendekatan ini perlu diseimbangkan dengan ‘push factor’ seperti langkah-langkah kawal selia untuk mengehadkan penggunaan kenderaan persendirian.

Antara cadangan beliau termasuk pelaksanaan caj kesesakan (congestion charge) di pusat bandar, peningkatan kadar letak kenderaan di kawasan strategik, had parkir kenderaan, serta pengenalan sistem perlesenan kenderaan tahunan berdasarkan kadar emisi karbon. Menurut beliau, pendekatan ini telah terbukti berkesan di bandar seperti London dan Singapura.

Beliau turut mencadangkan pelaksanaan perintis dasar ini di bandar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan George Town sebelum diperluaskan ke seluruh negara. Tambah beliau, dasar yang mungkin tidak popular ini memerlukan komitmen politik dan komunikasi awam yang strategik bagi memastikan kejayaan jangka panjang.

Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 6 membuktikan bahawa masa depan pengangkutan awam negara bukan hanya terletak pada besarnya belanjawan atau canggihnya teknologi, tetapi bergantung kepada komitmen bersama untuk membina sistem yang inklusif, adil dan berteraskan rakyat. Dengan nilai MADANI sebagai panduan, Malaysia kini berada pada landasan kukuh untuk membina sistem pengangkutan awam yang benar-benar memenuhi keperluan semua – dari desa ke kota, dari pelajar ke warga emas, dari pekerja harian ke pelancong antarabangsa.

 

 

Prof. Madya Dr. Nor Aziati Abdul Hamid

Penyelidik Utama, Pusat Kecemerlangan Industri untuk Rel (ICoE Rail)

Penyelidik Bersekutu, Pusat Pengurusan dan Operasi Perkhidmatan

Jabatan Pengurusan Pengeluaran dan Operasi

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)