BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pejabat Kampus Lestari (SCO) terus memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar dengan menganjurkan Program “Hari Kitar Semula: Dari Kampus, Untuk Bumi 2025” pada 29 Mei lalu bertempat di Dewan Terbuka, kampus induk.

Program yang mendapat tajaan Yayasan UTHM itu diadakan bertujuan membudayakan amalan kitar semula serta meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan warga kampus dan komuniti sekitar.

Menurut Pengarah SCO, Prof. Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir, inisiatif itu bukan sekadar penganjuran aktiviti kitar semula, tetapi menjadi wadah pendidikan alam sekitar yang menyeluruh serta menyokong Agenda 2030 untuk Matlamat Pembangunan Mampan dan penerapan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) dalam kalangan warga kampus.

Program itu juga selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai matlamat Net Zero Carbon 2050, sebagaimana digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Alam Sekitar Negara.

Pada masa yang sama, program itu turut menyokong pelaksanaan konsep Extended Producer Responsibility (EPR) yang semakin ditekankan oleh kerajaan sebagai pendekatan strategik dalam pengurusan sisa pepejal yang mampan.

“Melalui kolaborasi bersama industri seperti Coca-Cola Malaysia, agensi kerajaan dan syarikat pengurusan sisa, peserta didedahkan kepada kepentingan tanggungjawab bersama antara pengguna, pengeluar dan pihak berkuasa dalam memastikan kitar semula dilakukan secara berkesan dan berimpak.

“Inisiatif sebegini diyakini mampu memperkukuh ekosistem kelestarian negara secara menyeluruh, selaras dengan peralihan ke arah ekonomi sirkular,” katanya.

Program bertemakan “Dari Kampus, Untuk Bumi” itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 500 orang peserta, sekali gus mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan warga universiti terhadap isu-isu berkaitan kelestarian alam sekitar.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya pameran interaktif, kuiz berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), jualan barangan pre-loved serendah RM2.00, pertandingan membina arca daripada bahan kitar semula, serta demonstrasi kompos menggunakan kaedah cacing (vermicomposting) dan Takakura.

Aktiviti-aktiviti itu bukan sahaja memberi pendedahan berguna kepada peserta, malah turut mendorong amalan gaya hidup yang lebih mesra alam.

Acara kemuncak pula menyaksikan Pertandingan Penghantaran Bahan Kitar Semula Paling Berat antara pusat tanggungjawab.

Pejabat Bendahari muncul sebagai juara dengan kutipan sebanyak 154 kilogram, tempat kedua dimenangi oleh Natalie Chew, pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) dengan kutipan 39 kilogram, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Pejabat Sumber Manusia dengan jumlah 30 kilogram.

Secara keseluruhannya, jumlah bahan kitar semula yang berjaya dikumpulkan sepanjang program adalah sebanyak 450 kilogram (kg).

Pecahan bahan yang dikumpul terdiri daripada kotak sebanyak 146kg, plastik 142kg, tin 69kg, e-waste 90kg dan kaca 3kg.

Angka itu membuktikan bahawa kesedaran dan semangat warga kampus terhadap pengurusan sisa yang bertanggungjawab semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, yang juga Menjalankan Fungsi Naib Canselor hadir menyempurnakan majlis perasmian program tersebut.

Penganjuran Program “Hari Kitar Semula: Dari Kampus, Untuk Bumi 2025” bukan sahaja menyerlahkan komitmen UTHM dalam memperjuangkan agenda alam sekitar, tetapi turut memperkukuh hubungan strategik antara universiti, agensi luar dan komuniti setempat.